
Tesla Model Y L berdepan gelombang kritikan daripada pemilik selepas sistem suspensi belakang kenderaan itu didakwa mengalami kerosakan mendap selepas setahun di pasaran China.
Isu kecacatan berkenaan tular di pelbagai platform media sosial yang mana rata-rata pengguna mendakwa masalah tersebut merupakan kegagalan kelompok secara sistemik dan bukannya kes terpencil.
Laporan portal media Sina mendedahkan beberapa testimoni pemilik yang mendapati jurang antara gerbang roda belakang dengan tayar menyusut secara mendadak terutamanya selepas pemanduan jarak jauh atau apabila membawa beban muatan penuh.
Berdasarkan laporan aduan, gejala pemendapan itu berlaku mengikut rekod odometer serta corak penggunaan kenderaan.
- Kes Jarak Jauh (9,000 km): Seorang pemilik di wilayah Hebei mendakwa suspensi belakang kenderaannya mendap teruk selepas perjalanan jauh ke Tibet dengan muatan penuh.
- Kes Pemanduan Harian (30,000 km): Seorang pemilik di Shanghai yang memandu sejak Oktober 2025 mendapati jurang tayar menyusut sehingga dua jari, sekali gus menyebabkan casis kereta terhuyung-hayang dan berisiko bahagian bawah casis bergeser.
Tayar Haus Sebelah Dalam, Kos Ditanggung Pemilik
Masalah pemendapan suspensi itu turut mencetuskan kerosakan berangkai yang lain. Penurunan paras ketinggian casis secara tidak seimbang telah mengubah jajaran roda seterusnya menyebabkan kehausan tidak normal pada bahagian dalam tayar.
Sesetengah pemilik mendakwa bunga tayar menjadi haus sehingga melebihi had keselamatan. Walaupun pihak Tesla menggantikan komponen spring suspensi secara percuma di bawah jaminan, kos penggantian tayar yang haus pramatang itu terpaksa ditanggung oleh pemilik.
Pihak Tesla China masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung isu berkenaan dan sekadar meminta pemilik terjejas untuk hadir membuat pemeriksaan di pusat servis.
Berdasarkan laporan pemilik, pihak perkhidmatan selepas jualan Tesla menetapkan julat ketinggian normal gerbang roda belakang adalah 784 ± 20 mm. Tukaran spring hanya diluluskan sekiranya ukuran fizikal jatuh di bawah 764mm.
Justeru itu, pemilik yang terjejas telah menggunakan cara ujian jari bagi diagnosis kendiri. Jurang empat jari dianggap normal, jurang tiga jari merupakan tanda amaran, manakala jurang dua setengah jari atau kurang biasanya menandakan kegagalan fungsi.
Isu tersebut semakin serius apabila terdapat pemilik melaporkan bahawa penggantian spring hanyalah penyelesaian sementara.
Seorang pemilik mendakwa suspensi keretanya mendap semula selepas 10 hari digantikan, manakala pusat servis menolak permohonan penukaran kali kedua atas alasan tiada penyelesaian muktamad dari pihak pengeluar.
Model Y L merupakan SUV enam tempat duduk yang dilancarkan secara rasmi pada Ogos 2025.
Isu suspensi itu hadir ketika Tesla turut berdepan tekanan kawal selia yang lain di China. Pihak Pentadbiran Negeri bagi Kawal Selia Pasaran (SAMR) baru-baru ini mengeluarkan notis panggil balik skala besar berhubung isu pemegang pintu.
Tesla muncul sebagai pembuat kereta dengan jumlah unit terjejas tertinggi di negara berkenaan.



































