Utama Berita Automotif Permintaan kereta ICE menurun 40 peratus di China

Permintaan kereta ICE menurun 40 peratus di China

10

Landskap pasaran automotif terbesar dunia menyaksikan peralihan struktur yang semakin ketara apabila jualan runcit kereta penumpang enjin pembakaran dalaman (ICE) di China merosot sebanyak 40 peratus bagi perbandingan tahun ke tahun (YoY) pada bulan Ogos.

Sebaliknya, penguasaan pasaran Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) mencatatkan rekod tertinggi sebanyak 65.2 peratus, menurut data terbaharu yang dikeluarkan oleh Persatuan Kereta Penumpang China (CPCA).

Bulan lalu, pasaran China mencatatkan jualan keseluruhan sebanyak 1.54 juta unit kenderaan. Walaupun angka itu menunjukkan penurunan 23.6 peratus berbanding Ogos 2025, ia merekodkan pemulihan bulanan sebanyak 5.5 peratus berbanding Julai.

Segmen NEV yang merangkumi kenderaan elektrik penuh (BEV), plug in hibrid (PHEV) dan kenderaan hidrogen terus mendominasi pasaran dengan pendaftaran mencecah 1.005 juta unit (naik 5.7 peratus berbanding Julai).

Berikut jualan kenderaan bulan Ogos di China mengikut kategori :

  • ICE (536,000 unit) : Merosot 40% YoY (Pegangan pasaran jatuh ke 34.8%)
  • BEV (698,000 unit) : Naik 1.7% YoY manakala 7.9% bulan ke bulan (Menguasai 69.5% jualan NEV)
  • PHEV (307,000 unit) : Turun 25.8% YoY (Menguasai 30.6% jualan NEV)

Harga Petrol Melonjak Punca Permintaan Kereta Konvensional Jatuh

CPCA menjelaskan penguncupan drastik terhadap kenderaan petrol sebahagian besarnya didorong oleh tekanan kos operasi harian yang semakin membebankan pengguna domestik.

Harga bahan api di China telah melonjak lebih daripada CNY 1,720 (RM1,080) bagi setiap tan sejak awal tahun 2026.

Ini termasuk kenaikan berperingkat CNY180 (RM113) sejak akhir Julai lalu, sekali gus meletakkan purata harga petrol RON95 di China pada paras CNY 8.70 (RM5.50) seliter.

Prestasi Keseluruhan Januari Hingga Ogos

Bagi tempoh kumulatif lapan bulan pertama (Januari-Ogos 2026), keseluruhan jualan runcit kereta penumpang di China mencecah 11.7 juta unit, merosot 20.8 peratus YoY:

  • Jualan Kumulatif NEV: Mencecah 6.7 juta unit dengan penguasaan pasaran 56.9 peratus
  • Jualan Kumulatif ICE: Sekadar 5 juta unit (merosot 30 peratus) dengan perkongsian pasaran 43.1 peratus

Meskipun pasaran runcit domestik mencabar, sektor eksport bertindak sebagai talian hayat utama bagi pengeluar kenderaan China.

Eksport kereta penumpang melonjak 77.8 peratus kepada 888,000 unit pada Ogos, manakala eksport NEV ke pasaran antarabangsa mencatatkan lonjakan drastik sebanyak 154.7 peratus kepada 518,000 unit.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here