
PROTON e.MAS mencatat rekod jualan bulanan terbaik sejak dilancar dengan 6,047 unit berjaya dijual pada Ogos lalu. Ia dicapai hanya 20 bulan selepas pelancaran PROTON e.MAS 7 pada 16 Disember 2024, sekali gus menjadikannya jenama xEV terpantas di Malaysia melepasi 6,000 unit sebulan.
Daripada jumlah itu, 5,999 unit adalah pendaftaran domestik. Ini mengukuhkan kedudukan PROTON e.MAS sebagai jenama EV No.1 di Malaysia dengan purata 1 kereta didaftarkan setiap 7 minit sepanjang bulan Ogos.
Model PROTON e.MAS 5 menjadi tunjang jualan dengan 4,770 unit atau hampir 80 peratus daripada jumlah pendaftaran domestik.

PROTON e.MAS 7 pula mencatat 613 unit manakala varian e.MAS 7 PHEV merekodkan 616 unit. Permintaan ketiga-tiga model kekal kukuh.
Dari segi wilayah, Selangor menyumbang 51 peratus jualan domestik, diikuti Johor dan Pulau Pinang. Ketiga-tiga negeri itu mewakili 71 peratus jumlah jualan, namun permintaan turut meningkat di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Secara keseluruhan, PROTON e.MAS telah mendaftarkan 27,402 unit di pasaran tempatan dalam tempoh lapan bulan pertama 2026.
Tambahan 453 unit eksport ke Nepal, Trinidad dan Tobago, Singapura serta Mauritius menjadikan jumlah jualan tahun semasa sebanyak 27,855 unit.
“Pencapaian 5,999 pendaftaran sebulan mencerminkan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap jenama kami.
“Kami berbangga melihat semakin ramai memilih mobiliti elektrik sebagai masa depan,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET.
Pertumbuhan itu disokong pengembangan rangkaian kepada 60 pusat pengedar, 46 pusat servis dan 10 pusat badan & cat di seluruh negara.
Pada Ogos 2025, jumlahnya hanya 36 pusat pengedar dan 29 pusat servis.

PRO-NET turut menyediakan 103 pengecas pantas DC di pusat pengedar terpilih manakala aplikasi e.MAS pula memberi akses kepada lebih 4,700 titik pengecasan, termasuk 1,500 titik di 600 kediaman bertingkat.
Bagi membangunkan tenaga mahir, PRO-NET turut menganjurkan Pertandingan Kemahiran Perkhidmatan Selepas Jualan bersama TVETMARA bagi melahirkan pakar EV tempatan.
Maklumat lanjut layari mengenai pencapaian jenama ini boleh diperoleh di laman rasmi Proton e.MAS atau media sosial @protonemasofficial.































