
Jenama kenderaan tenaga baharu (NEV) mewah milik Geely, Zeekr menganjurkan kempen panggil balik 38,277 unit model liftback 001 susulan masalah sel bateri rosak keluaran Sunwoda.
Pengeluar bateri berkenaan sebelum ini setuju untuk membayar pampasan sebanyak RM1.312 bilion kepada Geely.
Menurut maklumat rasmi, model yang terlibat merupakan Zeekr 001 varian WE dengan bateri 86 kWh keluaran Julai 2021 hingga Mac 2024.
Zeekr menjelaskan susulan tiada keseragaman semasa proses pembuatan komponen dalaman bateri boleh menyebabkan peningkatan rintangan dalaman yang tidak normal. Ia berisiko mengakibatkan penurunan prestasi bateri dan berbahaya.

Zeekr menyatakan bateri 86 kWh tersebut menunjukkan penurunan kapasiti yang tidak dijangka.
Pihak syarikat menggunakan sistem pemantauan dan diagnostik berasaskan awan (cloud) untuk mengumpul data dan mendapati beberapa kereta mempunyai masalah rintangan bateri.
Susulan itu, syarikat telah memfailkan kempen panggil balik kepada Pentadbiran Negara bagi Kawal Selia Pasaran.
Zeekr akan memeriksa kenderaan yang terlibat atau menjalankan diagnostik cloud jarak jauh, serta menggantikan bateri secara percuma bagi kenderaan yang belum menerima penggantian.
Menurut China EV DataTracker, Zeekr telah menghantar 169,433 unit model 001 sehingga Mac 2024. Ini bermakna panggil balik tersebut melibatkan 22.5 peratus daripada keseluruhan kereta yang dihasilkan dalam tempoh berkenaan.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa pembuat bateri Sunwoda telah bersetuju untuk membayar CNY 2.314 bilion (RM1.312 bilion) kepada anak syarikat Geely Group, iaitu Viridi E-Mobility Technology (VREMT), selepas kedua-dua pihak menarik balik saman.
Pertikaian itu bermula pada Disember tahun lalu apabila VREMT mendedahkan bahawa bateri yang dibekalkan oleh Sunwoda mempunyai kecacatan kualiti.


