Utama Berita Automotif Perodua QV-E rasmi lancar, harga RM80,000

Perodua QV-E rasmi lancar, harga RM80,000

102

Penantian rakyat Malaysia untuk melihat kenderaan elektrik (EV) buatan tempatan berakhir menerusi pelancaran rasmi Perodua QV-E pada harga RM80k.

Kemunculan model sulung EV tersebut bukan sekadar pengenalan produk baharu namun mengetengahkan jiwa dan intipati di sebalik pembikinan EV nasional yang mengetengahkan ‘sentuhan binaan anak watan, untuk rakyat Malaysia’.

Sebelum pelancaran rasmi EV tersebut, Perodua menganjurkan sesi pandu uji dan pembentangan produk QV-E bersama media di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Khamis lalu.

Menerusi pembentangan produk, QV-E adalah jawapan langsung kepada Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang diumumkan oleh Perdana Menteri dan MITI pada 1 September 2023.

Seperti yang digariskan dalam pelan tersebut, kerajaan melantik Perodua sebagai “Champion” dan Peneraju Pengeluar Automotif Tempatan untuk memangkin pertumbuhan ekosistem EV negara.

Di bawah projek Mission-based projects – MBP 3.2, sasaran utama adalah melancarkan EV buatan tempatan menjelang 2025.

Hari ini, Perodua membuktikan komitmen tersebut dengan memperkenalkan QV-E hasil kepakaran jurutera Malaysia tepat pada masanya.

MASA YANG TEPAT : KEBANGKITAN BEV 

Keputusan Perodua untuk melancarkan QV-E pada suku akhir 2025 dilihat sebagai langkah strategik yang disokong oleh data pasaran semasa. Berdasarkan analisis prestasi jualan xEV (Tenaga Baharu) menunjukkan peralihan minat pengguna.

Walaupun kenderaan hibrid (HEV) bermula agak kukuh tetapi titik perubahan pada April lalu menyaksikan jualan Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) mendahului buat kali pertama.

Sejak itu, BEV terus mencatatkan pertumbuhan pesat yang membuktikan bahawa rakyat Malaysia sudah bersedia untuk beralih sepenuhnya kepada pemanduan elektrik tulen.

Selain itu, ia turut didorong oleh prestasi kukuh jualan Perodua. Tahun lalu, syarikat merekodkan jualan tertinggi dalam sejarah sebanyak 358,000 unit.

Momentum ini diteruskan pada tahun 2025 (sehingga Oktober) dengan Perodua menguasai kira-kira 44 peratus pegangan pasaran automotif negara.

PERJALANAN PROJEK “P01A”

Menggunakan kod nama P01A, pembangunan EV sulung itu mencatatkan sejarah pembangunan model terpantas dalam rekod Perodua.

Projek ini bermula secara rasmi pada Ogos 2023. Walaupun tempoh masa yang singkat, Perodua berjaya menyiapkan pembangunan QV-E dengan pelaburan RM800 juta melibatkan lebih 266,000 jam-tenaga manusia khusus untuk pembangunan dan penyelidikan (R&D). 

Bermula dari kereta konsep EMO I hingga ke prototaip EMO II, Perodua telah menyerap kepakaran global dan menggabungkannya dengan DNA “Unik Malaysia”.

Di fasa terakhir Perodua menjalin kerjasama strategik teknologi bersama Magna Steyr, firma kejuruteraan automotif ternama dari Austria.

Bahkan, segala Harta Intelek (IP) termasuk platform kenderaan dimiliki sepenuhnya oleh Perodua.

Diposisikan secara strategik untuk golongan berpendapatan sederhana hingga tinggi, pengeluaran QV-E bermula pada Disember 2025 di kilang baharu Smart Mobility Plant.

Bagi fasa permulaan, Perodua menetapkan sasaran jualan yang konservatif namun realistik sebanyak 500 unit sebulan.

“Tetapi kami akan menawarkan 3,000 unit kenderaan sebulan menjelang suku ketiga tahun
2026,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Sri Zainal Abidin Ahmad.

Spesifikasi Penuh & Dimensi Perodua QV-E

Kini tiba masanya untuk melihat spesifikasi ‘100% Malaysian EV’. 

Asas kekuatan QV-E terletak pada “All New Platform” yang dibangunkan secara bersama antara Perodua dan gergasi kejuruteraan automotif, Magna Steyr.

  • Fleksibiliti Modular: Platform ini direka untuk menampung pelbagai jenis bentuk badan dalam segmen A dan B, termasuk hatchback, sedan dan SUV.

  • Masa Depan Hibrid: Reka bentuk platform ini juga bersedia untuk masa hadapan. Dengan modifikasi pada mid-floor dan front beams, ia berpotensi untuk menampung teknologi Hibrid dan REEV (Range Extender EV). Adakah tahun depan kita bakal menerima model hibrid Perodua?. 

Daripada segi dimensi, QV-E tampil dengan saiz jauh lebih besar berbanding Myvi memberikan imej premium dan tegap.

Berikut perbandingan dimensi utama P01A (QV-E) berbanding Myvi:

Dimensi Perodua QV-E (P01A) Perbezaan vs Myvi
Panjang 4,170 mm +275 mm (Lebih Panjang)
Lebar 1,800 mm +65 mm (Lebih Lebar)
Tinggi 1,502 mm -13 mm (Lebih Rendah)
Jarak Roda (Wheelbase) 2,680 mm +180 mm (Ruang Kabin Luas)
Kelegaan Tanah 158 mm -2 mm
Berat Kerb 1,600 kg +575 kg (Kesan pek bateri)

 

Dengan lebar 1,800mm dan profil bumbung yang lebih rendah, QV-E menawarkan titik graviti yang lebih baik untuk pengendalian dinamik.

Di samping itu, ia juga lebih lebar 5mm dan lebih tinggi 72mm berbanding Proton e.MAS 5. 

  1. Prestasi Kuasa: Pecutan Taraf “Sport”

Perodua QV-E menjanjikan prestasi yang jauh meninggalkan model pembakaran dalaman (ICE) sedia ada Perodua dengan output kuasa :

  • Kuasa Motor: 150kW (bersamaan kira-kira 201hp)
  • Tork: 285Nm
  • Pecutan 0-100 kmj: 7.5 saat (Dalam Mod Sukan)
  • Kelajuan Maksimum: 165 kmj

2. Bateri & Pengecasan

Sistem penyimpanan tenaga menggunakan teknologi LFP (Lithium Iron Phosphate), yang terkenal dengan keselamatan tinggi dan jangka hayat kitaran yang panjang.

  • Kapasiti: 52.5 kWh
  • Jarak Pemanduan: 445 km (NEDC)
  • Berat Bateri: 405.7kg
  • Ketahanan: Dilengkapi sistem penyejukan cecair serta penarafan kalis air dan debu IP68/IP69, menjadikannya tahan lasak untuk cuaca tropika Malaysia.
  • Pengecasan Pantas (DC): Menyokong sehingga 60kW, pengecasan dari 30-80 peratus mengambil masa 30 minit.
  • Pengecasan AC: Menyokong 6.6kW, pengecasan penuh (0-100%) mengambil masa 8 jam, sesuai untuk pengecasan semalaman di rumah.

Spesifikasi Utama dan Rekaan

Bagaimana pula dengan penampilan EV ini?. Perodua QV-E menampilkan profil siluet yang tinggi seperti crossover, tetapi dengan garis bumbung yang landai ke belakang mirip Toyota CH-R. 

Muka depan dipadankan dengan lampu nyala siang (DRL) LED yang nipis manakala lampu utama sebenar diletakkan secara menegak dalam perumah berwarna hitam di kiri dan kanan bampar.

Manakala bahagian bawah bampar menampilkan kemasan hitam berkilat dengan corak heksagon menambah elemen sporty.

Kemudian, profil sisi ditingkatkan dengan rim aloi dua tona warna bersaiz 18 inci bersama fender kemasan plastik hitam, tipikal bagi sebuah crossover. Bahagian bawah pintu juga mempunyai kemasan hitam untuk kontra.

Cermin sisi dan bumbung berwarna hitam berkilat memberikan imej terapung manakala port pengecasan disematkan pada fender hadapan sebelah kiri.

Ciri paling menonjol di belakang adalah jalur lampu LED yang melintasi sepanjang but kereta lalu menghubungkan kedua-dua unit lampu belakang, memberikan kesan lebar dan futuristik.

Unit lampu belakang berbentuk tajam dan memanjang ke sisi badan lalu diletakkan logo Perodua di tengah, dengan lencana “QV-E” di sebelah kanan.

Bumbung belakang digabungkan dengan spoiler kecil serta bampar berwarna hitam berkilat dan tebal, mengimbangi reka bentuk hadapan.

Masuk ke kabin, QV-E didominasi dengan warna hitam dan jahitan kontra merah pada tempat duduk, memberikan suasana yang elegan dan sporty. Hitam juga lebih mudah dijaga kebersihannya berbanding warna cerah.

Rekaan panel pintu agak menarik menerusi pemegang pintu yang unik dan kemasan perak yang berterusan bersama dengan garisan lampu ambien. 

Berikut ciri peralatan yang ditawarkan dalam kabin :

  • Skrin hiburan 10.25 inci dengan ketersambungan Android Auto/Apple Carplay tanpa wayar
  • Skrin TFT meter combi bersaiz 10.25 inci
  • Tombol gear jenis rotary, kerusi pemandu berkuasa elektrik, stereng dua jejari kemasan kulit
  • Cermin pandang belakang digital dan pengecas telefon tanpa wayar
  • 6-pembesar suara, masuk tanpa kunci dan punat push start

Keselamatan 

Didatangkan dengan pilihan warna badan Ice Blue dan Caviar Grey, Perodua QV-E dilengkapi dengan sistem keselamatan terintegrasi yang komprehensif..

  1. Child Presence Detection (CPD)

Teknologi keselamatan penting untuk mengingatkan pemandu tentang keberadaan anak di dalam kereta. 

Sistem ini akan mengingatkan pemandu sekiranya ada kanak-kanak ataupun binatang peliharaan yang tertinggal di dalam kereta kerana ia boleh mengesan pergerakan serta tanda vital (seperti bunyi nafas) di bahagian tempat duduk belakang.

Ia juga boleh mengesan pergerakan walaupun dilitupi oleh selimut atau fabrik lain.

  • Cara Kerja: Mengesan pergerakan dan tanda-tanda vital (pernafasan) di kerusi barisan kedua dan bahagian kaki menggunakan sensor (gelombang radio/milimeter-wave) yang dipasang di belakang headlining.
  • Kemampuan: Efektif mengesan bahkan di bawah penutup kain, dalam kondisi gelap, dan beroperasi di suhu ekstrem (-40°C hingga 85°C).

Tahap Sistem Peringatan :

  • Stage 1 (Setelah 5 saat): Kunci kenderaan, Hazard Flash.
  • Stage 2 (Setelah 10 saat): 1 Hon, Hazard Flash, Notifikasi melalui APLIKASI & SMS.
  • Stage 3 (Setelah 120 saat, lalu 20 minit): 1 Hon, Hazard Flash, Notifikasi berulang melalui APLIKASI & SMS.

2. SOS Call

Tombol SOS sekali sentuh untuk panggilan kecemasan yang cepat. 

  • Emergency SOS Services (eCall dan SOS Call): Sistem terintegrasi yang memastikan bantuan cepat dari Perodua Call Center.
  • eCall: Disokong oleh data kenderaan untuk memicu penempatan penyelamatan cepat oleh National Emergency Rescue (MERS 999).

Di samping itu ciri keselamatan lain yang ditawarkan adalah 6 beg udara, Surround View Monitoring (SVM); Tire Pressure Monitoring System (TPMS); sensor depan/belakang; Electronic Parking Brake (EPB); ABS dengan EBD & BA; Electronic Stability Control (ESC); Traction Control System (TCS); Adaptive Cruise Control (ACC); Traffic Jam Assist (TJA); Highway Assist (HWA); Autonomous Emergency Braking (AEB); Forward Collision Warning (FCW); Blind Spot Detection (BSD); Lane Departure Warning (LDW); Lane Keep Assist (LKA); Auto High Beam (AHB); Rear Cross Traffic Alert (RCTA), perakam video dan Isofix.

 

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here