Utama Berita Automotif Tahukah anda, Perodua QV-E ini menelan kos pembangunan sebanyak RM800 juta!

Tahukah anda, Perodua QV-E ini menelan kos pembangunan sebanyak RM800 juta!

5

Kos pembangunan kenderaan elektrik pertama Perodua menerusi QV-E menelan kos pembangunan sebanyak RM800 juta dan dikeluarkan di kemudahan pengilangan terbaharu Perodua iaitu Smart Mobility Plant.

Selain itu, Perodua menjalin kerjasama secara agresif dengan vendor tempatan untuk membekalkan 50 peratus komponen menjelang awal 2026 dan meningkatkannya kepada 70 peratus menjelang 2030.

70 Vendor Menjelang 2030

Sehingga kini, sejumlah 52 syarikat tempatan menjadi pembekal komponen auto untuk QV-E dan syarikat kenderaan kompak itu merancang untuk meningkatkan jumlah berkenaan kepada 70 vendor dalam tempoh 5 tahun menjelang 2030. 

Menerusi sokongan penuh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta disokong oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan berkaitan, Perodua berjaya mengeluarkan kenderaan elektriknya dalam tempoh 28 bulan.

Sasaran pembeli utama untuk QV-E adalah golongan pertengahan serta mereka yang mencari kereta kedua atau kereta gantian untuk kegunaan harian ataupun kegunaan santai pada hujung minggu.

Perodua QV-E Harga RM80,000

Kenderaan elektrik pertamanya dijual RM80,000 harga runcit tidak termasuk insurans dan bateri sebagai sebahagian daripada agenda nasional negara dalam membangunkan ekosistem EV yang mampan.

QV-E, yang bermaksud ‘Quest for Visionary-Electric’ menggunakan bateri Lithium Iron Phosphate (52.5kW) dan mempunyai kapasiti julat sehingga 445 kilometer (NEDC), bergantung kepada cara pemanduan, suhu dan keadaan jalan.

Dari segi spesifikasinya, ia memiliki 150kW dengan tork setinggi 285Nm. Ia boleh memecut 0-100km/j dalam 7.5 saat dengan kelajuan maksimum 165km/j.

Lengkap Sistem Pengesanan Dan Amaran Kanak-Kanak 

Model ini juga dilengkapi dengan ciri keselamatan terkini termasuklah sistem pengesanan dan amaran kanak-kanak (Child Presence Detection).

Sistem ini akan mengingatkan pemandu sekiranya ada kanak-kanak ataupun binatang peliharaan yang tertinggal di dalam kereta kerana ia boleh mengesan pergerakan serta tanda vital (seperti bunyi nafas) di bahagian tempat duduk belakang.

Sistem itu juga boleh mengesan pergerakan walaupun dilitupi oleh selimut atau fabrik lain.

3,000 Sebulan Menjelang Suku Ketiga 2026

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, pada masa ini, pihaknya boleh mengeluarkan 500 unit kenderaan sebulan, tetapi mampu menawarkan 3,000 unit kenderaan sebulan menjelang suku ketiga 2026.

“Semua ciri yang ada pada QV-E dicipta dengan mengambil kira fungsi terkini, aspek keselamatan yang lebih canggih serta keselesaan pengguna berdasarkan kajian terperinci dijalankan Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan kami.

“Makanya, terhasillah model QV-E ini yang menjadi bukti kerjasama rakyat Malaysia dalam mencipta sesuatu yang unik, daripada reka bentuk hinggalah kepada aspek kejuruteraan, QV-E menawarkan manfaat buat semua,” katanya.

Pajakan Bateri

Perodua turut memperkenalkan konsep pajakan bateri yang dikenali sebagai ‘Battery as a Service’ yang mana ia dijual secara berasingan dengan kereta.

“Konsep ini menawarkan penyelesaian terhadap kebimbangan pemilik EV. Dengan adanya perkhidmatan ini, kami mampu menawarkan jaminan bateri sepanjang hayat kepada pelanggan kami demi ketenangan minda mereka,” katanya.

Untuk mengecas bateri itu, bagi AC ia boleh menampung sehingga 6.6kW yang mengambil masa sehingga lapan jam untuk penuh, manakala 30 minit untuk 30-80 peratus penggunaan DC maksimum 60kW.

QV-E didatangkan dalam dua warna iaitu:

  • Ice Blue
  • Caviar Grey

 

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here