
Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) menyita Nissan GT-R yang dipandu seorang pemuda tempatan selepas didapati Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.
Menerusi Ops Khas Luxury di susur keluar Ke MRR2 dari Tol Gombak ke Batu Caves itu mendapati LKM kereta sukan berkenaan telah tamat tempoh sejak 14 November lalu.
Kenderaan mewah terbabit difahamkan merupakan kereta sewa telah disita serta-merta dan dibawa ke Pejabat JPJ WPKL untuk tindakan serta siasatan lanjut.
JPJ WPKL menegaskan bahawa pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dijalankan secara berterusan ke atas semua kenderaan bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap peraturan dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan.
“JPJ WPKL sentiasa memberi perhatian dan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas semua aduan dan memastikan kenderaan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan,” kata kenyataan itu.
Orang awam yang mempunyai maklumat atau aduan mengenai kesalahan lalu lintas diminta menyalurkannya kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau menggunakan platform aplikasi e-aduan, lengkap dengan butiran pengadu dan butiran aduan yang jelas.































