#TahukahAnda: Ini maksud papan tanda AH di lebuhraya Malaysia..

23514

Ketika melalui lebuhraya pernahkah anda melihat papan tanda AH dengan latar hitam selain daripada papan tanda susur keluar.

Pernahkah anda terfikir apakah maksud papan tanda tersebut dan kegunaannya?. AH sebenarnya merujuk kepada Asian Highway ataupun lebuhraya Asian.

LIBATKAN 32 NEGARA



Projek tersebut dimulakan pada 1959, selama sedekad (1960-1970) fasa pertama projek berjalan dengan baik. Namun, proses pembangunan mula perlahan akibat penggantungan bantuan kewangan pada 1975.

Projek itu giat dimulakan semula pada era 80-an dan 90-an dengan perkembangan politik dan ekonomi baharu. Projek Lebuhraya Asia dijadikan sebahagian daripada program ALTID pada 1992.

Perjanjian Antara Kerajaan (IGA) diterima pakai pada mesyuarat yang diadakan di Bangkok pada November 2003. Sebanyak 23 negara menandatangani perjanjian IGA ketika sesi ke-60 suruhanjaya ESCAP yang diadakan di Shanghai pada April 2004.

Bilangan negara yang mengambil bahagian sebanyak 28 pada 2007 yang kemudian meningkat kepada 32 pada 2008. Dalam projek berkenaan China merupakan pelabur terbesar diikuti India dan Rusia.

MERANGKUMI LEBUHRAYA MALAYSIA

Tahukah anda?, laluan lebuhraya Asia ini turut melibatkan laluan di Malaysia. Pernahkah anda melihat papan tanda AH2 yang dipasang bersama-sama jata laluan heksagon sedia ada sepanjang E1, E2 dan E6.

AH2 merupakan sebuah jalan raya dalam rangkaian Lebuhraya Asia sepanjang 13,107km. Ia bermula dari Denpasar, Indonesia ke Khosravi, Iran melalui Indonesia, Singapura, Malaysia, Thailand, Myanmar, India, Bangladesh, Nepal, Pakistan dan Iran.

Papan tanda AH2 boleh dilihat di sepanjang Leburaya Utara Selatan E1 dan E2 (Bukit Kayu Hitam-Johor Bahru), Lebuhraya NKVE (Bukit Lanjan-Shah Alam) E1, Lebuhraya Elite E6, Lebuhraya Skudai FT1 dan Tambak Johor FT1.

Ini senarai laluan Lebuhraya Asia yang melalui Malaysia (sumber: blogjalanraya): 
  1. AH18: sepanjang Jalan Persekutuan 3 (Rantau Panjang-Johor Bahru)
  2. AH140: sepanjang Lebuhraya Butterworth-Kulim E15 (Butterworth-Lunas) dan Jalan Persekutuan 4 (Lunas-Pasir Puteh)
  3. AH141: NKVE E1 (Bukit Lanjan-Jalan Duta), Lebuhraya Duke (Jalan Duta-Sentul Pasar-Greenwood), KL MRR2 FT28 (Greenwood-Gombak Utara), Lebuhraya Karak E8/FT2, Lebuhraya Pantai Timur E8 Fasa 1 (Gombak-Jabor) dan Jalan Pintasan Gebeng
  4. AH142: sepanjang Persiaran MEC FT222, Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12  (Gambang-Segamat) dan Jalan Persekutuan 1 (Segamat-Yong Peng Selatan)
  5. AH143: sepanjang Lebuhraya Linkedua E3 (Senai-Tanjung Kupang)
  6. AH150: sepanjang Lebuhraya Pan Borneo (Jalan Persekutuan 1 di Sarawak dan Jalan Persekutuan 1, 22 dan 13 di Sabah)

PANJANG LALUAN SETIAP NEGARA

Rangkaian Lebuhraya Asia sepanjang 141,000km ini merentasi 32 negara yang dibina untuk menambahbaik kemudahan pengangkutan seluruh negara dan menyediakan rangkaian jalan raya ke Eropah.

Berikut panjang laluan Lebuhraya Asia setiap negara:

  • Afghanistan (4,247km)
  • Armenia (958km)
  • Azerbaijan (1,442km)
  • Bangladesh(1,804km)
  • Bhutan (167km)
  • Kemboja (1,339km)
  • China (25,579km)
  • Korea Selatan (1,320km)
  • Georgia (1,154km)
  • India (11,432km)
  • Iran (11,152km)
  • Jepun (1,200km)
  • Kazakhstan (13,189km)
  • Kyrgyzstan (1,695km)
  • Lao PDR (2,297km)
  • Malaysia (1,595km)
  • Indonesia (3,989km)
  • Singapura (19km)
  • Thailand (5,112km)
  • Vietnam (2,678km)
  • Mongolia (4,286km)
  • Mynmar (3,003km)
  • Nepal (1,321km)
  • Pakistan (5,377km)
  • Filipina (3,517km) 
  • Rusia (16,869km)

Manakala di Sri Lanka panjang laluan adalah 650km, Tajikistan ( 1,925km) diikuti Turki (5,254km), Turkmenistan (2,204km) dan Uzbekistan (2,966km).

LALUAN DIBAHAGIKAN KEPADA NOMBOR

Keseluruhan laluan projek dibahagikan kepada AH1 hingga AH87. Jalan satu digit ialah laluan utama yang menghubungkan lebih daripada satu sub-rantau.

AH1: Lebuhraya sepanjang 20,557km dari Tokyo ke sempadan Turki-Bulgaria. Ia laluan paling panjang melalui Korea, China, Asia Tenggara, India, Pakistan, Afghanistan dan Iran.

AH3: Sejauh 7,331 melalui Ulan-Ude, Rusia ke Tanggu, China dan Shanghai, China ke Chiang Rai, Thailand dan Kengtung, Myanmar.

AH4: Sejauh 6,024km dari Novosibirsk, Rusia ke Yarantai, Mongolia dan kemudian dari Urumqi, China ke Karachi, Pakistan.

AH5: Laluan 10,380km bermula dari Shanghai, China ke sempadan Turki-Bulgaria. Ia melalui Kazakhstan, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Azerbaijan dan Georgia. Ia bersambung ke AH1 di barat Istanbul.

AH6: Sepanjang 10,475km menghubungkan Busan, Korea Selatan ke sempadan Rusia-Belarus. Ia kebanyakannya bertepatan dengan Lebuhraya Trans-Siberia dan Laluan Eropah E30.

AH7: Lebuhraya sepanjang 5,868km antara Yekaterinburg, Rusia dan Karachi, Pakistan.

AH8: Laluan sejauh 4,718km dari sempadan Rusia-Finland ke Bandar Imam di Iran.

Laluan AH10 ke AH29 dan AH100 ke AH299 kebanyakannya di Asia Tenggara. AH30 hingga AH39 pula melalui ke Asia Timur dan AH300 hingga AH399 berada di Asia timur laut.

AH40 hingga AH59 dan AH400 hingga AH599 melibatkan Asia Selatan. AH60 hingga AH89 berada di Asia utara dan tengah. AH600 ialah AH899 ditugaskan ke Asia barat daya.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here