
Selepas mengacah sembilan model baharu menjelang EICMA 2026, Benda akhirnya memenuhi jangkaan ramai apabila memperkenalkan sebuah motosikal pengembaraan serba baharu.
Pengeluar motosikal dari China itu melancarkan Benda Capra 700 di pameran Milan pada 3 November, yang dijana oleh enjin V-twin 65 darjah berkapasiti 691.6cc, menghasilkan 72 hp.
Benda sebelum ini lebih dikenali menerusi rangkaian cruiser bersaiz kecil hingga pertengahan.
Namun, dengan kemunculan Capra 700, syarikat itu kini cuba menembusi segmen motosikal adventure yang semakin popular dan kompetitif.
Model baharu itu direka di pusat reka bentuk Eropah milik Benda dan dibangunkan oleh pasukan kejuruteraan syarikat tersebut di Hangzhou, China.
Capra 700 yang lebih menjurus kepada kegunaan jalan raya menghasilkan 72 hp pada 9,000 rpm serta 68 Nm tork (50 lb-ft) pada 6,500 rpm.
Ia dibina berasaskan rangka steel trellis, dipadankan dengan lengan ayun aluminium, fork hadapan jenis upside-down (USD) boleh laras, serta penyerap hentak belakang monoshock.
Jentera ini turut menggunakan kombinasi roda hadapan 21 inci dan roda belakang 18 inci.
Dari segi ergonomik, Benda menetapkan ketinggian tempat duduk pada 850 mm, manakala berat siap isi (curb weight) ialah 220 kg dengan tangki bahan api berkapasiti 18 liter.
Antara kelengkapan moden yang ditawarkan termasuk paparan TFT menegak, sistem pendikit elektronik ride-by-wire, ABS dua saluran, kawalan cengkaman (traction control) dan port pengecas USB.
Dari segi penampilan, Capra 700 tampil dengan lampu utama bulat yang digabungkan bersama pelindung angin berwarna gelap, memberikan gabungan gaya klasik dan moden.
Kuasa membrek Capra 700 dikendalikan oleh sistem Brembo, menggunakan angkup brek radial empat piston di hadapan dan angkup satu piston di belakang. Kedua-duanya dipadankan dengan cakera brek tunggal di hadapan dan belakang.
Buat masa ini, Benda masih belum mendedahkan harga rasmi atau pasaran yang akan menerima Capra 700 terlebih dahulu.
Namun, syarikat itu mengesahkan model berkenaan bakal memasuki pasaran United Kingdom.
Untuk rekod, Benda mula menembusi pasaran UK pada tahun 2025 menerusi tiga model cruiser iaitu Chinchilla 500, Napoleonbob 500 dan LFC 700.
Berdasarkan spesifikasi yang ditawarkan, Capra 700 dijangka bersaing secara langsung dengan model seperti Kawasaki KLE650, KTM 790 Adventure dan Yamaha Ténéré 700.

































