
EICMA bakal menjadi pentas kepada salah satu model paling menarik daripada Honda apabila pengeluar Jepun itu mempamerkan V3R 900 E-Compressor versi produksi sebenar.
Model ini mencuri perhatian kerana hadir dengan enjin V3 serba baharu yang dibangunkan sendiri oleh Honda, lengkap dengan teknologi kompresor kawalan elektronik (electronically-controlled compressor) yang didakwa sebagai yang pertama di dunia untuk motosikal pengeluaran.
Keunikan sistem ini membolehkan enjin menerima bekalan udara tambahan secara elektronik tanpa bergantung sepenuhnya kepada putaran enjin seperti turbo konvensional.
Hasilnya, penjanaan kuasa dan tork pada pelbagai julat rpm dapat ditingkatkan sambil mengekalkan saiz enjin yang lebih kompak.
Dari sudut rekaan, Honda turut memberikan identiti tersendiri kepada V3R 900 E-Compressor menerusi gaya badan asimetri yang agresif dan futuristik.
Ia dipadankan dengan beberapa komponen premium termasuk tangki bahan api titanium, sistem ekzos titanium serta muffler titanium yang bukan sahaja mengurangkan berat keseluruhan motosikal, malah meningkatkan nilai eksklusivitinya.
Teknologi turut menjadi fokus utama menerusi penggunaan versi baharu Honda RoadSync yang dipertingkatkan.
Sistem sambungan pintar itu kini hadir dengan antaramuka manusia-mesin (HMI) yang lebih intuitif bagi memudahkan interaksi penunggang ketika menunggang.
Menariknya, Honda turut menyepadukan kawalan suara berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan beberapa fungsi motosikal diakses dengan lebih mudah melalui arahan suara.
Buat masa ini, Honda masih belum mendedahkan angka rasmi kuasa, tork serta prestasi penuh model tersebut.
Namun dengan kombinasi enjin V3 dan teknologi e-compressor, V3R 900 dilihat berpotensi membuka lembaran baharu dalam pembangunan motosikal prestasi tinggi Honda pada masa hadapan.







