
Enjin V3 baharu yang dilengkapi unit pemampat elektrik (e-compressor) Honda dijangka bakal menjadi nadi pilihan untuk model enduro Africa Twin generasi baharu.
Sejak bertahun-tahun, Africa Twin dipacu oleh enjin dua-silinder dan untuk model CRF1100L ia menggunakan enjin parallel-twin 1,084 cc menghasilkan 101 hp dan 105 Nm.
Terdapat dua kemungkinan enjin yang bakal mendiami Africa Twin generasi baharu, sama ada enjin 2-silinder dengan sesaran lebih tinggi atau enjin V3 baharu.
Antara sebab utama kenapa enjin V3 tersebut sangat menarik untuk dipadankan pada sebuah model enduro seperti Africa Twin ialah saiznya yang kompak.
Dengan pakej enjin yang tidak begitu lebar, ia memberikan kelebihan dari segi pengendalian atas laluan yang mencabar.
Selain itu, enjin baharu itu mampu menawarkan penjimatan berat badan, di mana sebuah Africa Twin dijangka memiliki berat sekitar 200 kg.
Sesebuah model enduro memerlukan saiz tangki yang besar, reraup dan jarak pergerakan suspensi yang lebih, namun masih boleh mendapat manfaat daripada asas yang kompak.
Buat masa ini, Honda masih belum mendedahkan angka spesifikasi bagi enjin V3 tersebut.
Namun berdasarkan kepada info yang didedahkan sebelum ini, enjin 900 cc dengan unit pemampat elektronik itu mampu menghasilkan kuasa yang setara dengan enjin 1,200 cc.
Versi produksi V3R 900 E-Compressor dijangka muncul di EICMA pada November tahun ini, dan daripada situ kita boleh meneka angka prestasi yang bakal dipadankan pada Africa Twin generasi baharu.
Berbalik kepada enjin dua silinder itu tadi, Honda dijangka akan memperkenalkan Africa Twin dengan enjin bersesaran lebih tinggi (CRF1200L) dengan enjin 1,200 cc menghasilkan kuasa sekurang-kurangnya 110 hp berbanding enjin sedia ada.


































