
Antara jentera adventure yang semakin menarik perhatian dalam pasaran ialah CFMoto 800MT-X, di mana ia telah pun dilancarkan di Malaysia pada tahun lalu.
Bertempat di EICMA tahun lepas, pengeluar tersebut turut memperkenalkan 800MT-ES.
Unik dalam segmennya, 800MT-ES hadir dengan sistem suspensi pintar (Intelligent Suspension System, ISS).
Sistem ini akan membaca keadaan jalan semasa dan melaraskan tahap lantunan dan mampatan dalam masa nyata untuk memastikan penunggang kekal selesa.
Ia juga akan membaca data kelajuan dan beban semasa untuk memastikan larasan yang diberikan adalah tepat.
Menurut CFMoto, sistem ini mampu memastikan jentera adventure ini kekal stabil atas pelbagai permukaan jalan, dan mengelakkan roda depan terangkat ketika sedang mendaki cerun.
Sama seperti model 800MT-X, 800MT-ES turut dilengkapi dengan sistem pengukuran inersia (IMU) enam paksi, sistem kawalan kestabilan Bosch, cornering ABS, kawalan cengkaman, kawalan drag torque dan kawalan wheelie.
Ia turut mendapat sistem pengesanan radar, empat mod tunggangan, penukaran gear pantas dua-arah, penstabil hendal dan kawalan jelajah.
Jentera ini dipacu enjin parallel-twin 799 cc sejukan cecair menghasilkan kuasa 91 hp pada 9,250 rpm dan 75 Nm pada 8,000 rpm.
Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan, serta klac assist/slipper.
Suspensi elektronik itu tadi menawarkan jarak pergerakan roda 160 mm depan dan 150 mm belakang.
Rim pula bersaiz 19 inci depan dan 17 inci belakang, dibaluti getah Michelin.
Brek terdiri daripada tetapan cakera berkembar 320 mm depan yang diapit angkup brek radial J.Juan, dibantu cakera belakang 260 mm.
Dengan segala kelengkapan yang dimuatkan, CFMoto 800MT-ES dijual pada harga £8,499 (RM47 ribu) sahaja di UK.


































