
Bagi mereka yang setia mengikut perkembangan Benelli, nama Tornado mengingatkan kita kepada model 650 cc yang dihasilkan pada awal era 1970-an.
Nama tersebut kemudian digunakan pada model superbike berenjin tiga-silinder Tornado Tre.
Kini, nama Tornado muncul semula walaupun ia tidak berkongsi sebarang aspek mekanikal dengan model yang disebutkan tadi.
Namun, ia memberikan petanda Benelli kembali serius dalam arena sportbike.
Ia dikuasakan enjin parallel-twin bersudut 270 darjah dengan sesaran 554 cc sejukan cecair menghasilkan 56 hp pada 8,250 rpm dan 54 Nm pada 5,500 rpm.
Kuasa disalurkan kepada roda menerusi kotak gear enam-kelajuan dan klac slipper.
Secara visualnya, ini bukanlah sebuah TNT 500 yang dipadankan dengan kelengkapan reraup.
Lihat saja hasil rekaan panel badan yang nampak lebih mahal jika dibandingkan dengan harga jualan sebenar, menjadikannya motosikal dengan rupa terbaik pernah dihasilkan.
Ia turut menampilkan lampu LED berkembar, lampu nyalaan siang DRL, serta rekaan tangki yang berukir.
Casis keluli kerangka trellis itu disokong dengan fork Marzocchi USD 41 mm boleh laras sepenuhnya, diikuti dengan penyerap hentak tunggal dengan larasan pra-muatan dan lantunan.
Brek pula menggunakan cakera berkembar 320 mm yang diapit angkup radial Brembo 4-omboh di depan, dan cakera 260 mm di belakang.
Segala info dipaparkan menerusi skrin TFT 5-inci, diikuti dengan fungsi kawalan elektronik seperti Cornering ABS, kawalan cengkaman dan dua mod tunggangan (normal & sport).
Di pasaran Amerika, Benelli Tornado 550 ini dijual pada harga dari US$5,999 (RM24,342), menjadikannya jauh lebih murah jika dibandingkan dengan Honda CBR500R dan Triumph Daytona 660.






