
PT Toyota Motor Manufacturing Indonesia (TMMIN) menjalin kerjasama dengan syarikat dari China, Contemporary Amperex Technology Co. Limited (CATL) untuk mengeluarkan bateri kereta hibrid di negara tersebut dengan nilai pelaburan IDR 1.3 trilion (RM298.4 juta).
Pengeluaran bateri kenderaan hibrid tersebut akan dijalankan di kilang milik CATL Karawang, Jawa Barat. Bukan sekadar melakukan pembungkusan atau pemasangan bahkan menghasilkan komponen sel dan modul bateri. Sementara itu, pengeluaran komponen akan bermula pada semester kedua tahun ini.
“Kami dengan bangga mengumumkan kolaborasi strategik dengan CATL di Indonesia.
“Melalui kolaborasi ini, kami akan memperdalamkan pemasangan tempatan bateri kenderaan hibrid dengan penghasilan komponen sel dan modul bateri yang selama ini masih diimport. Pada masa hadapan, ia akan dihasilkan sendiri oleh bakat tempatan Indonesia,” ujar Presiden Pengarah PT TMMIN, Nandi Julyanto.

Tambah beliau, TMMIN akan menjadi anak syarikat Toyota pertama di ASEAN yang akan mengeksport bateri ke pasaran global dan merupakan pencapaian besar buat syarikat tersebut.
“Kami percaya lokalisasi merupakan satu perjalanan yang tidak boleh dicapai secara cepat, sebaliknya secara bertahap melalui proses yang memerlukan masa serta kolaborasi kuat daripada seluruh pemangku kepentingan.
“Bukan sahaja meningkatkan kandungan tempatan, malah ia juga menjadi asas penting dalam membina ekosistem utama di Indonesia,” tambahnya.
Sementara itu, Presiden Eksekutif Kumpulan Perniagaan Jepun CATL, Ni Zheng menyambut baik kerjasama strategik tersebut. Beliau mendakwa, kilang syarikatnya di Indonesia juga sudah bersedia dari segi operasi.
“Pencapaian ini hanyalah permulaan baharu. Seterusnya, CATL dan Toyota akan terus bekerjasama untuk meningkatkan perniagaan kita di Indonesia dan Asia,” kata Zheng.
Dengan kerjasama tersebut, kereta-kereta hibrid Toyota yang dijual di Indonesia akan menggunakan bateri buatan dalam negeri. Walaupun terdapat proses lokalisasi, pihak pengilang masih belum dapat memastikan sejauh mana kesannya terhadap harga jualan kenderaan tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN































