
Kerajaan menanggung beban subsidi bahan api yang besar kira-kira RM8.28 juta setiap jam, bersamaan RM2,300 sesaat untuk melindungi rakyat daripada kesan krisis bekalan global yang dicetuskan konflik geopolitik di Asia Barat.
Itulah realiti semasa yang ditanggung kerajaan susulan krisis bekalan global yang melonjakkan harga minyak mentah dunia melepasi paras USD110 setong pada Mac lalu, satu keadaan yang tidak dapat dielakkan dan berada di luar kawalan kerajaan.
Penasihat Ekonomi, Pejabat Perdana Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein berkata pada Mac lalu, jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan ialah sebanyak RM6 bilion dan jumlah itu meningkat kepada RM7 bilion pada April.
Beliau mengakui jumlah tanggungan subsidi yang besar itu tidak mampan dan sudah pasti tidak dapat bertahan untuk tempoh yang lama.
“Saya kira tanggungan subsidi setiap saat ialah RM2,300. Setiap saat kita membelanjakan RM2,300 untuk subsidi bahan api,” katanya kepada Berita Harian.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai beban subsidi yang sedang ditanggung kerajaan dalam usaha mengekang kenaikan kos hidup dan inflasi berikutan kekurangan bekalan dan harga minyak dunia yang tinggi.
Mengulas keadaan semasa, Nurhisham berkata, cabaran yang dihadapi kini ialah krisis bekalan global, berbeza dengan krisis ketika pandemik COVID-19 yang dicetuskan kelemahan permintaan.
Katanya, krisis bekalan global menjadi kebimbangan utama memandangkan pengeluaran minyak dari Asia Barat akan mengambil masa untuk pulih meskipun laluan perdagangan penting Selat Hormuz dibuka semula seperti sedia kala.
PEMBUKAAN LALUAN TIDAK BERMAKNA PULIH SERTA MERTA

Beliau berkata, pembukaan laluan perkapalan tidak bermakna bekalan minyak akan pulih serta-merta memandangkan banyak telaga minyak ditutup, malah sebahagiannya dimeterai dengan konkrit sebagai langkah keselamatan.
“Proses untuk mengaktifkan semula telaga ini dijangka mengambil masa antara tiga hingga enam bulan atau lebih lama, bergantung kepada tahap kerosakan dan keselamatan kawasan.
“Ketika pandemik COVID-19, pemulihan bekalan mengambil masa sehingga 18 bulan. Justeru, bekalan minyak global dijangka kekal terhad dalam tempoh yang panjang,” katanya.
Mengenai kesan inflasi, Nurhisham mengakui memang akan berlaku inflasi berikutan faktor luaran yang di luar kawalan kerajaan.
Beliau berkata, kesan inflasi dalam negara dapat diredakan dengan mengawal kos pengangkutan bagi mengimbangi kesan kepada harga barang asas.
Buat masa ini, bekalan bahan api dalam negara masih mencukupi sehingga Jun ini seperti yang dijamin Petronas.































