
Malaysia mengekalkan kuota pengeluaran petroleum di bawah Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) bagi 2026 seperti yang dipersetujui sebelum ini, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata pengekalan kuota itu sekali gus memberi kelegaan kepada negara untuk meneruskan aktiviti minyak dan gas seperti dirancang meskipun berdepan krisis bekalan tenaga global.
“Kita memang mempunyai komitmen dengan OPEC+ dan sudah dipersetujui kuota bagi 2026 kekal seperti yang diputuskan sebelum ini,” katanya.
Akmal Nasrullah berkata keputusan itu dicapai pada mesyuarat OPEC+ yang berlangsung di Vienna, Austria, Ahad lepas.
Beliau berkata bagi perancangan 2027, OPEC+ sedang melaksanakan kajian di bawah inisiatif Kapasiti Mampan Maksimum (MSC) bagi menyemak kuota setiap negara berdasarkan penilaian yang lebih menyeluruh dan spesifik terhadap keupayaan pengeluaran masing-masing.
Katanya, kerajaan bersetuju untuk memberi kerjasama dalam kajian berkenaan supaya Malaysia akan terus kekal dengan tahap kuota yang seimbang, selaras dengan pengeluaran.
Mengulas mengenai kuota yang sesuai untuk Malaysia pada 2027, beliau berkata jumlah itu masih dalam penelitian memandangkan tahap petroleum negara berubah mengikut keadaan operasi semasa.
“Sebab itu ada kajian yang mendalam supaya apabila diputuskan untuk 2027, ia mencukupi untuk pengeluaran yang kita boleh keluarkan. Angka itu berbeza setiap tahun berdasarkan tahap pengeluaran kita.
“Mungkin berlaku penutupan loji atau pelantar untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan. Jadi, kuota yang akan ditentukan bagi 2027 perlu mencerminkan keupayaan sebenar tahap pengeluaran petroleum negara kita,” tambahnya.
































