Utama Berita Automotif Sekatan pembelian RON95 guna kad kredit, debit asing perkasa mekanisme subsidi Malaysia

Sekatan pembelian RON95 guna kad kredit, debit asing perkasa mekanisme subsidi Malaysia

5

Penguatkuasaan sekatan pembelian petrol RON95 menggunakan kad kredit dan kad debit asing di terminal layan diri pam minyak bermula Rabu ini, disifatkan sebagai satu lagi usaha pemerkasaan mekanisme pemberian subsidi bahan api itu di Malaysia, di sebalik ketidaktentuan harga minyak global susulan konflik geopolitik di Asia Barat.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata inisiatif itu adalah pelengkap kepada larangan pembelian dan penjualan petrol RON95 bagi kenderaan berpendaftaran asing, yang juga akan berkuatkuasa Rabu ini.

Beliau berkata ia merupakan satu langkah wajar dalam meringankan beban kawalan pembelian bahan api itu di peringkat runcit, dan pada masa sama membantu pemilik stesen meningkatkan produktiviti melalui sekatan transaksi secara automatik di pam.

“Inisiatif ini mengurangkan kebergantungan kepada pemantauan manual oleh staf di terminal pam kerana kami mempunyai kekangan kakitangan dan adalah sukar untuk melakukan penguatkuasaan transaksi jual beli bahan api secara efektif selama 24 jam sehari.

“Kaedah sekatan pembelian petrol RON95 menggunakan kad kredit dan kad debit asing di terminal layan diri pam ini membolehkan operasi stesen menjadi lebih cekap dan teratur,” katanya kepada Bernama. 

Bagaimanapun, Khairul Annuar berkata pemantauan fizikal tetap perlu diteruskan kerana terdapat pemandu kenderaan berpendaftaran asing yang memiliki kad kredit atau debit keluaran bank tempatan.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam sebelum ini berkata transaksi bagi pembelian petrol RON95 menggunakan kad kredit dan kad debit asing hanya boleh dilakukan di kaunter, berkuat kuasa Rabu ini.

SEKATAN SISTEM PEMBAYARAN LEBIH SUKAR DIMANIPULASI

Sementara itu, Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM), Azlin Othman berkata pendekatan sekatan sistem pembayaran lebih sukar dimanipulasi berbanding kaedah konvensional, namun perlu dilaksanakan bersama penguatkuasaan rapi di lapangan bagi mengoptimumkan keberkesanannya.

Azlin pada masa sama tidak menolak kemungkinan wujudnya ruang kelemahan dalam pelaksanaan peraturan baharu itu, termasuk helah menggunakan wakil tempatan dalam urusan transaksi.

Beliau menyifatkan inisiatif itu pada asasnya mencerminkan keperluan perubahan lebih menyeluruh terhadap sistem subsidi sedia ada.

“Ini bukan sekadar tutup kebocoran, tapi isyarat jelas bahawa sistem subsidi lama sudah tidak lagi relevan dan perlu dirombak ke arah yang lebih bersasar, malah ketirisan subsidi RON95 melibatkan kerugian besar kepada negara dan tidak boleh lagi dipandang ringan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Datuk Dr N. Marimuthu berkata langkah berkenaan juga boleh dilihat sebagai permulaan kepada usaha rasionalisasi subsidi secara lebih menyeluruh oleh kerajaan.

“Ya, inilah antara inisiatif yang perlu ada sebagai langkah awal membendung ketirisan minyak subsidi diguna pakai oleh kereta pendaftaran warga asing. Ini adalah amanah. Kerajaan perlu pastikan wang rakyat sampai kepada yang benar-benar layak,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menekankan kepentingan ketelusan kerajaan dalam pelaksanaan dasar tersebut bagi memastikan rakyat boleh menilai keberkesanan dasar itu secara adil.

Konflik Asia Barat yang berlarutan sejak hujung Februari lepas telah melonjakkan harga minyak mentah global lebih 40 peratus hingga melepasi USD100 setong, sekali gus meningkatkan risiko gangguan bekalan minyak dunia.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here