
Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang merangka cadangan pindaan lanjut terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mewajibkan pesalah memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah, membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa, selain daripada hukuman penjara yang dikenakan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, kerajaan komited untuk terus memperkukuh undang-undang dan penguatkuasaan demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.
Katanya, MOT memandang serius kejadian meragut nyawa disebabkan pemandu yang berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah seperti yang dilaporkan media serta menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dalam hal berkenaan
“MOT merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga Amirul Hafiz Omar, yang terbabit dalam nahas tragis di Jalan Raya Barat, Klang akibat pemandu yang berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah seperti yang dilaporkan media.
“Kehilangan ini amat menyayat hati, dan insiden sebegini bukan sahaja meragut nyawa yang tidak berdosa, malah menjadi satu bentuk kecuaian jenayah yang tidak boleh diterima sama sekali,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pindaan undang-undang berkaitan sebelum ini sudah diluluskan di Dewan Rakyat dan berkuat kuasa pada Oktober 2020, yang memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap pesalah.
Berdasarkan Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987, mana-mana individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian boleh dihukum penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak melebihi 15 tahun, serta denda antara RM50,000 hingga RM100,000, jika sabit kesalahan.
Bagi kesalahan berulang, hukuman adalah lebih berat, iaitu penjara tidak kurang daripada 15 tahun dan tidak melebihi 20 tahun serta denda antara RM100,000 hingga RM150,000.
“MOT menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyegerakan siasatan kes ini secara menyeluruh supaya kertas siasatan dapat dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara, untuk menjalankan pendakwaan dan seterusnya berharap mahkamah menjatuhkan hukuman paling berat terhadap pesalah sekiranya didapati bersalah.
“Pada masa yang sama, MOT juga sedang merangka cadangan pindaan lanjut terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mewajibkan pesalah membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa, selain daripada hukuman penjara yang dikenakan,” katanya.





























