Utama Berita Automotif MyEG hutang RM314 juta, 35 kali notis peringatan dikeluarkan

MyEG hutang RM314 juta, 35 kali notis peringatan dikeluarkan

7

Kementerian Pengangkutan (MOT) menyatakan sebanyak RM314 juta hasil kerajaan masih belum dipindahkan oleh MyEG Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd bagi tempoh 19 Mei hingga 30 September 2026.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata pihak syarikat telah menyerahkan cek bertarikh 30 September 2026 bernilai RM231 juta pada 21 Ogos 2026 bagi penyelesaian tunggakan pada ketika itu.

“Walau bagaimanapun, apabila cek tersebut dikreditkan pada 30 September 2026, pihak bank tidak memproses cek berkenaan atas arahan pihak syarikat.

“Justeru, pihak MOT dan JPJ terpaksa mengambil langkah drastik untuk menggantung perkhidmatan pembayaran menggunakan saluran MYEG dan Zetrik AI bermula 5 Oktober lalu,” jelasnya menerusi kenyataan media. 

Tambah beliau, pihak MOT dan JPJ mengambil beberapa langkah bagi mendapatkan semula kutipan hasil berkenaan, termasuk mengadakan empat sesi libat urus sejak bulan Mei 2026 bersama semua pihak berkepentingan termasuk Kementerian Kewangan.

Selain itu, pihaknya juga mengeluarkan 35 notis peringatan serta menetapkan tempoh penyelesaian tunggakan.

“MOT dan JPJ turut akan mengambil tindakan perundangan yang sewajarnya bagi mendapatkan semula keseluruhan tunggakan kutipan hasil kerajaan daripada MYEG.

“Kerajaan memandang serius sebarang ketidakpatuhan dalam pengurusan dan pemindahan hasil awam serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal memenuhi tanggungjawab berkaitan wang kerajaan,” jelasnya. 

Beliau menegaskan keputusan penggantungan itu tidak akan menjejaskan penyampaian perkhidmatan JPJ kepada rakyat.

Katanya, urus niaga berkaitan akan terus tersedia melalui saluran alternatif termasuk aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ, kaunter dan kios JPJ serta saluran lain yang ditetapkan oleh Jabatan. 

Manakala bagi pelaksanaan Ujian Teori KPP01, JPJ telah menyediakan saluran melalui 85 Institut Memandu (IM) yang diluluskan untuk melaksanakan ujian berkomputer, sekali gus memastikan calon dapat meneruskan urusan tanpa bergantung kepada pusat ujian yang dikendalikan melalui MYEG.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here