
“Yang tak bayar syarikat (MyEG), yang diminta diambil tindakan ialah menteri. Apa punya logik ini?,” tegas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Beliau berkata sedemikian selepas diminta mengulas kritikan di media sosial yang mendesak perletakkan jawatan selepas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung pemungut hasil, MyEG Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd.
Menurutnya, keputusan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan JPJ dibuat berdasarkan fakta berhubung tunggakan hasil kerajaan, bukannya dipengaruhi sebarang pertimbangan politik.
“Saya pun hairan. Cepat-cepat minta saya letak jawatan pula. Yang tak bayar, syarikat!,” katanya pada sidang akhbar, Isnin.
Anthony berkata, pihaknya tidak mahu mengaitkan pengurusan atau pemilikan syarikat berkenaan dengan mana-mana parti politik kerana perkara itu bukan pertimbangan kerajaan dalam mengambil tindakan.
Beliau berkata, perkara utama yang menjadi pertimbangan MOT dan JPJ ialah kewujudan tunggakan hasil kerajaan yang gagal dipindahkan mengikut kewajipan ditetapkan.
“Faktanya ialah ada tunggakan, okey, ada tunggakan, ada apa-apa tunggakan yang sepatutnya obligasi kepada kerajaan tidak dipenuhi dan tindakan perlu diambil,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan memaklumkan jumlah keseluruhan tuntutan terhadap syarikat berkenaan berjumlah RM314 juta bagi tempoh 19 Mei hingga 30 September 2026, melibatkan kutipan hasil kerajaan yang belum dipindahkan ke akaun terimaan utama Pejabat Perakaunan Kementerian Pengangkutan.
Anthony berkata, kerajaan telah memberikan peluang kepada syarikat berkenaan untuk menyelesaikan tunggakan tersebut termasuk mengeluarkan 35 notis peringatan dan mengadakan empat sesi libat urus bersama pihak berkepentingan.
Bagaimanapun, katanya, tindakan penggantungan terpaksa diambil selepas cek bernilai RM231 juta yang diserahkan syarikat tidak diproses oleh pihak bank atas arahan syarikat ketika dikreditkan pada 30 September lalu.
Mengulas sama ada penggantungan itu akan berakhir dalam tempoh tertentu, Anthony berkata, perkhidmatan berkenaan hanya akan dipertimbangkan untuk dibuka semula selepas keseluruhan tunggakan dilangsaikan.



