Utama Berita Automotif RM400 satu cop, Pegawai Kanan Imigresen kantoi bantu Toyu seludup migran

RM400 satu cop, Pegawai Kanan Imigresen kantoi bantu Toyu seludup migran

124
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyita sebuah Nissan Sentra, dua buah motosikal Honda Wave dan EX-5 serta seorang lelaki warga tempatan dan Thailand yang dipercayai ‘ejen’ dikenali sebagai ‘Toyu’ bagi mengatur pergerakan kemasukan warga asing ke dalam negara.
 
Dalam operasi di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah pada Sabtu lalu itu turut menahan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’.
 
Menurut kenyataan, hasil risikan selama sebulan pasukan operasi menahan seorang Pegawai Kanan JIM yang bertugas di ICQS Bukit Kayu Hitam yang dipercayai sebagai ‘pemudah cara’.
 
“Turut ditahan lima lelaki warganegara India dan satu lelaki warganegara Pakistan dengan jumlah keseluruhan yang ditahan adalah seramai 10 orang.
 
“Semakan awal mendapati satu lelaki warganegara India yang ditahan merupakan imigran yang telah disenaraihitam serta satu lelaki warganegara Pakistan menggunakan e-visa yang dipercayai palsu manakala warganegara asing lain yang ditahan merupakan imigran larangan.
 
“Pasukan operasi telah menyita sebanyak 5 naskah pasport India, satu naskhah pasport Pakistan, Pas Sempadan Malaysia, Pas Sempadan Thailand, Cap Keselamatan Imigresen, 12 unit telefon bimbit dan wang tunai INR 30,000,” jelasnya. 
 
Sindiket menggunakan modus operandi dengan membawa masuk warganegara asing terutamanya dari India yang dipercayai Imigran Larangan melalui pintu masuk darat secara terancang.
 
Manakala ‘ejen’ akan bertindak sebagai penyelaras pergerakan dengan menetapkan masa dan urusan kemasukan warganegara asing ke dalam negara dari Thailand oleh ‘transporter’ yang berselindung sebagai pemandu teksi. 
 
“Setibanya di pintu masuk negara, pegawai yang berperanan sebagai ‘pemudah cara’ akan menurunkan endorsement ke dalam pasport warganegara asing ini walaupun tidak memenuhi syarat kemasukan.
 
“Sindiket mengenakan bayaran sebanyak RM1,000 seorang manakala RM400 akan dibayar oleh ‘ejen’ kepada pegawai bagi setiap pasport yang diturunkan endorsement.
 
“Sindiket ini dipercayai telah beroperasi sejak awal tahun dan mengakibatkan ketirisan hasil negara yang dianggarkan sebanyak RM4.1juta,” menurut kenyataan. 
 
Seramai dua lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warganegara Thailand ditahan kerana dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Sek.26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan satu lelaki warga tempatan ditahan dibawah Sek.26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
 
Manakala seramai lima lelaki warganegara India ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Sek.8(3) Akta Imigresen 1959/63 dan satu lelaki warganegara Pakistan ditahan di bawah Sek.56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63.
 
Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Negeri Kedah untuk tindakan lanjut. Seramai dua lelaki dan dua perempuan warga tempatan telah dikeluarkan Notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.
 
 
 
 
 
 
 

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here