
Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) secara rasmi melancarkan SUV segmen-B terbaharu, Xforce ke pasaran tempatan pada April lalu.
Kehadiran model ini pastinya merancakkan lagi persaingan sengit dalam segmen kompak SUV tersebut sekali gus memberikan alternatif segar di samping model sedia ada seperti Perodua Traz, Proton X50, Toyota Corolla Cross dan Honda HR-V.
Di Malaysia, Mitsubishi Xforce ditawarkan dalam dua pilihan varian dengan harga atas jalan (tanpa insurans) seperti berikut:
- Xforce Urban (varian asas): RM109,980
- Xforce Ultimate (varian tertinggi): RM119,980
Sebagai sebuah model pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di kemudahan kilang Pekan, Pahang, Xforce dijana oleh enjin 4A91 1.5 liter Aspirasi Semulajadi (NA) petrol.
Ia mampu menghasilkan kuasa 105PS @ 6,000rpm dan tork maksimun 141Nm @ 4,000rpm yang kemudiannya dipadankan dengan transmisi automatik jenis CVT.
Panduan Poket: Kiraan Kasar Ansuran Bulanan
Bagi anda yang berminat untuk meminang Mitsubishi XForce, berikut adalah anggaran kasar pengiraan ansuran bulanan yang diambil daripada laman web rasmi MMM.
Anggaran dibuat berdasarkan skim pinjaman sewa beli dengan deposit 10 peratus dan kadar faedah bank sekitar 2.8 peratus.
1. Mitsubishi Xforce Urban (RM109,980)
- Deposit 10%: RM11,000 (anggaran)
- 5-tahun: RM1,880.66
- 7-tahun: RM1,409.32
- 9-tahun: RM1,147.46
2. Mitsubishi Xforce Ultimate (RM119,980)
- Deposit 10%: RM12,000 (anggaran)
- 5-tahun: RM2,051.66
- 7-tahun: RM1,537.46
- 9-tahun: RM1,251.79
Sebelum menandatangani borang pinjaman dengan pihak bank, sedia maklum dengan formula asas pembiayaan berkenaan.
Pinjaman tempoh panjang (7 hingga 9-tahun) memberikan kelebihan dari segi komitmen bulanan yang lebih rendah dan tidak membebankan aliran tunai bulanan.
Bagaimanapun, jumlah keseluruhan faedah (total interest) yang dibayar kepada bank sepanjang tempoh tersebut adalah jauh lebih tinggi.
Manakala pinjaman tempoh pendek (5-tahun) menyumbang kepada bayaran bulanan yang agak tinggi, tetapi keuntungannya ialah jumlah faedah keseluruhan adalah jauh lebih rendah dan anda dapat memiliki geran kenderaan dengan lebih cepat.
Varian mana yang menjadi idaman anda dan tempoh pinjaman berapa tahun yang paling ideal dengan gaji semasa sekarang?.

































