
BYD dilaporkan sedang berbincang dengan Volkswagen (VW) bagi mengambil alih sebahagian daripada kemudahan ikonik Transparent Factory milik pengeluar Jerman itu di Dresden.
Selain BYD, jenama China lain seperti MG dan Xpeng juga berminat untuk menggunakan kilang-kilang VW di Eropah untuk pengeluaran kenderaan mereka.
Menurut sumber, BYD merancang untuk melabur di tapak tersebut dan menggunakan separuh daripada kapasiti kilang untuk pembuatan kenderaan elektrik (EV). Separuh lagi bahagian kilang Dresden itu dirancang untuk menjadi hab inovasi dengan kerjasama negeri Saxony dan Universiti Teknologi (TU) Dresden.
Tapak pengeluaran berkenaan dilihat sangat strategik bagi BYD untuk meningkatkan kesedaran jenama dengan label “Made in Germany” memandangkan syarikat itu membuat pelaburan besar bagi membina imej di Eropah. Pada Mac lalu, jualan BYD di Jerman melonjak 327 peratus tahun ke tahun dengan jualan 3,438 unit.
Strategi Lokasi & Isu Tarif EU

Sebelum ini, BYD mempertimbangkan Sepanyol sebagai lokasi pilihan untuk kilang kedua di Eropah kerana kos pembuatan yang rendah dan rangkaian tenaga bersih. Namun, pendirian Jerman yang menentang tarif tambahan EU terhadap EV buatan China dilihat sebagai faktor penarik bagi pelabur dari Beijing.
Sebagai perbandingan, negara yang menyokong tarif tersebut seperti Poland telah kehilangan projek pengeluaran Leapmotor, manakala Sepanyol yang berkecuali berjaya menarik pelaburan tersebut.
Kerjasama Volkswagen dengan Pesaing China

Ketua Pegawai Eksekutif Volkswagen, Oliver Blume, menyatakan pada 30 April bahawa berkongsi kapasiti kilang Eropah yang tidak digunakan dengan pengeluar China boleh menjadi “penyelesaian bijak” untuk mengurangkan kos operasi.
VW kini dalam proses mengurangkan kapasiti pengeluaran global daripada 12 juta kepada 9 juta kenderaan.
Xpeng dan MG (SAIC) juga sedang meneroka peluang yang sama. Xpeng merupakan rakan kongsi strategik VW di China, manakala SAIC pula adalah rakan usaha sama (JV) lama VW di pasaran tersebut.
Kilang Dresden, yang dikenali sebagai Gläserne Manufaktur, dibuka pada 2002 dan pernah mengeluarkan model mewah seperti VW Phaeton, Bentley, e-Golf, dan terakhir adalah ID.3. VW yang mana pengeluaran kenderaan berakhir 2025.
Walaupun sedang berkembang pesat, BYD turut berdepan penelitian buruh di luar negara. Terdapat laporan dakwaan salah laku buruh di kilang Hungary yang dibawa ke Parlimen Eropah, manakala pihak berkuasa Brazil sebelum ini menuduh kontraktor di tapak kilang BYD di kemudahan itu menyediakan persekitaran kerja yang “serupa dengan perhambaan.”
Jika perjanjian di Dresden ini menjadi kenyataan, ia akan memberikan BYD kedudukan simbolik yang sangat kuat di Jerman—pasaran automotif terbesar di Eropah dan tanah air bagi pesaing utamanya, Volkswagen.




