
Sub-jenama BYD yang memfokuskan kepada reka bentuk dan prestasi, Fang Cheng Bao mendedahkan model konsep supercar Formula X di Beijing Auto Show (2026).
Langkah ini memperluaskan barisan produk jenama melangkaui SUV dan sedan ke dalam segmen prestasi volum rendah.
Model konsep tersebut dipamerkan bersama sedan siri-S baharu yang menjadi sebahagian daripada strategi seni bina “FORM” yang lebih luas, merangkumi model penumpang arus perdana dan kenderaan prestasi.
Kemunculan sulung di tengah gelombang pendedahan EV berprestasi tinggi itu turut mempertontonkan Denza Z jenis convertible milik BYD. Denza Z akan menyasarkan pasaran Eropah terlebih dahulu yang mana pelancaran global di Goodwood Festival of Speed pada Julai ini.
Bahasa Reka Bentuk Inspirasi Biologi
Formula X berasaskan hala tuju reka bentuk “evolusi biologi” Fang Cheng Bao yang mana bahagian hadapan menampilkan lampu “Fengbao Eye”, manakala di belakang menggunakan lampu signatur “Infinity Ring” yang diinspirasikan daripada logo jenama.
Nisbah badan ditetapkan pada 1:2.5 yang menyerlahkan profil depan yang panjang dan kabin yang tirus tajam. Kadaran tambahan yang dilaporkan termasuk nisbah jarak roda-ke-lebar 3x dan nisbah ketinggian roda-ke-lebar 1.6x, sekali gus mengukuhkan gaya kedudukan kenderaan yang condong ke hadapan.
Struktur Karbon dan Susun Atur Aerodinamik

Konsep ini dibina berasaskan badan gentian karbon sepenuhnya. Menurut spesifikasi paparan rasmi, bahagian luaran menggabungkan enam saluran udara dan 19 lubang udara yang tersebar di seluruh badan.
Sayap elektrik belakang aktif dan diffuser berongga turut disertakan untuk menguruskan aliran udara pada kelajuan tinggi. Keseluruhan reka bentuk mengutamakan fungsi aerodinamik berbanding penggayaan permukaan tradisional, dengan saluran udara struktur yang jelas disepadukan ke dalam panel badan.
Dalaman dan Susun Atur Pemandu

Di bahagian dalam, Formula X menggunakan susun atur kokpit ringkas berorientasikan prestasi. Ia menampilkan mekanisme stereng boleh lipat dan sistem paparan yang dipasang di tengah. Struktur kabin juga meneruskan penekanan terhadap gentian karbon, dengan bahan ringan digunakan pada permukaan yang boleh dilihat.
Setakat ini, tiada spesifikasi rangkaian kuasa versi produksi.
Prospek Pengeluaran dan Kedudukan Pasaran
Model konsep ini dilaporkan menghampiri fasa pengeluaran, dengan jangkaan sehingga 80 peratus reka bentuk asal akan dikekalkan pada model akhir. Pengenalan pasaran buat masa ini diunjurkan sekitar tahun 2027, bergantung kepada kemajuan pembangunan.
Formula X merupakan sebahagian daripada pengembangan Fang Cheng Bao dalam segmen prestasi yang lebih tinggi, seiring dengan barisan “FORM” berasaskan sedan.
Menurut China EV DataTracker, Fang Cheng Bao mencatatkan pertumbuhan yang kukuh tetapi turun naik pada tahun 2026. Jualan Mac mencecah 21,120 unit, meningkat 162.3 peratus tahun ke tahun, susulan kemuncak jualan 48,161 unit pada Disember 2025.







