
Biarpun Porsche berdepan tekanan kewangan, pengeluar Jerman itu memilih untuk kembali kepada kepakaran utamanya iaitu kereta sport.
Hasilnya ialah Porsche Mission S, sebuah kereta konsep yang bukan sahaja memperkenalkan bahasa reka bentuk baharu jenama itu, malah memberi bayangan kepada model super sport yang bakal berada di atas Porsche 911.
Dari segi reka bentuk, Mission S menampilkan profil enjin tengah (mid-engine) dengan inspirasi daripada beberapa model Porsche ikonik.
Bahagian hadapan jelas dipengaruhi oleh jentera lumba 911 GT1, menerusi kemasukan udara besar di tengah, fender menonjol, lampu utama bulat serta liang udara besar pada bonet.
Bahagian belakang pula tampil lebih agresif dengan kehadiran kipas kecil pada penutup enjin yang diinspirasikan daripada Porsche 917, sayap belakang yang disepadukan ke dalam badan, diffuser bersaiz besar dan empat muncung ekzos yang disusun bertingkat.
Ruang dalaman Mission S mengekalkan falsafah Porsche dengan susun atur yang memfokuskan pemandu. Rekaan kabin mengambil inspirasi daripada model klasik 356 dan 550 Spyder, lengkap dengan lima paparan digital seperti 911 moden.
Menariknya, tiada skrin infotainmen tengah disediakan. Sebaliknya, Porsche menggunakan sistem telefon pintar boleh sorok dengan sambungan MagSafe, membolehkan pengguna menggunakan telefon mereka untuk navigasi dan aplikasi Porsche.
Kabin turut dilengkapi suis fizikal jenis togol, tempat duduk bucket dengan tali pinggang perlumbaan serta tuil penukaran gear daripada gentian karbon.
Selepas menghentikan pengeluaran 918 Spyder, Porsche belum memiliki sebuah supercar baharu dalam barisannya.
Sebelum ini, syarikat itu memperkenalkan Mission X sebagai calon pengganti elektrik sepenuhnya, namun projek tersebut tidak diteruskan ketika permintaan terhadap hypercar EV mula perlahan.
Kini, Mission S dilihat sebagai usaha Porsche untuk kembali ke laluan yang lebih sesuai. Walaupun Porsche belum mengesahkan versi produksi akan kelihatan sama seperti konsep ini, syarikat itu mengesahkan sebuah model super sport enjin tengah baharu sedang dibangunkan.
Lebih penting, model ini bukan akan dihasilkan secara terhad seperti hypercar eksklusif, sebaliknya akan menjadi sebahagian daripada rangkaian tetap Porsche.
Menurut laporan terdahulu, Porsche dipercayai sedang membangunkan enjin boxer lapan silinder baharu untuk model prestasi utamanya yang akan datang, berkemungkinan versi produksi Mission S.
Jika digabungkan dengan reka bentuk dramatik seperti yang ditampilkan pada Mission S, Porsche mungkin memiliki ramuan yang tepat untuk kembali menggegarkan segmen supercar, sekali gus mencabar pengeluar Eropah lain seperti Ferrari dan McLaren.







