
Porsche Malaysia menerusi Sime Darby Auto Performance secara rasmi memperkenalkan Cayenne Electric di pasaran tempatan.
Pelancaran itu menandakan kemasukan model SUV paling popular jenama tersebut ke era serba elektrik.
Model baharu ini akan dijual bersama-sama varian Cayenne enjin pembakaran dalaman dan plug-in hibrid yang sedia ada, sekali gus menawarkan lebih banyak pilihan kepada pelanggan di Malaysia.
Cayenne Electric kini dibuka untuk tempahan dengan harga bermula RM699,000.
Varian paling berkuasa, Cayenne Turbo Electric, mencatatkan prestasi setanding kereta sport. Dengan fungsi Launch Control, ia mampu menghasilkan kuasa maksimum sehingga 850kW (1,156PS) dan tork 1,500Nm.

Dalam mod pemanduan biasa, kuasa yang dijana ialah sehingga 630kW (857PS). Fungsi Push-to-Pass pula menambah 130kW (176PS) selama 10 saat.
Prestasi pecutan juga mengagumkan dengan catatan 0-100 km/j dalam 2.5 saat dan 0-200 km/j dalam 7.4 saat. Kelajuan maksimum dihadkan pada 260 km/j.
Sistem pemulihan tenaga pula mampu mencapai sehingga 600kW, manakala motor elektrik belakang bagi varian Turbo Electric dilengkapi sistem penyejukan minyak terus.
Cayenne Electric dilengkapi pacuan semua roda dengan sistem Porsche Traction Management dan suspensi udara adaptif bersama Porsche Active Suspension Management sebagai standard.
Varian Turbo Electric turut menerima Porsche Torque Vectoring Plus, sistem stereng gandar belakang sehingga lima darjah, dan pilihan Porsche Active Ride serta Porsche Ceramic Composite Brake.
Dari segi bateri, model ini menggunakan pek bateri voltan tinggi 113kWh dengan seni bina elektrik 800 volt. Ia menyokong pengecasan DC sehingga 390kW, atau 400kW dalam keadaan tertentu.
Pengisian bateri dari 10 peratus ke 80 peratus mengambil masa kurang 16 minit, manakala tambahan jarak sehingga 325 km boleh diperoleh dalam masa 10 minit pengecasan.

Jarak pemanduan WLTP pula berbeza mengikut varian :
- Cayenne Electric – sehingga 642 km
- Cayenne S Electric – sehingga 653 km
- Cayenne Turbo Electric – sehingga 623 km
- Cayenne Coupé Electric – sehingga 669 km
Rekaan luaran Cayenne Electric menampilkan identiti Porsche yang lebih moden dengan lampu Matrix LED tirus, bonet rendah dan garis bumbung flyline.
Bahagian belakang pula menampilkan jalur lampu 3D dengan logo Porsche bercahaya.
Varian Turbo Electric tampil lebih agresif dengan kemasan eksklusif Turbonite pada logo, rim aloi dan bingkai tingkap.
Dari segi aerodinamik, pekali seretan direkodkan serendah 0.25 untuk versi SUV dan 0.23 untuk versi Coupé.
Sistem Porsche Active Aerodynamics turut membantu meningkatkan kecekapan tenaga dan kestabilan pada kelajuan tinggi.
Dimensi kenderaan :
- 4,985mm (P) x 1,980mm (L) x 1,674mm (T)
- jarak roda 3,023mm
- Ruang kargo belakang antara 781 hingga 1,588 liter ditambah ruang frunk 90 liter
- Kapasiti tunda pula sehingga 3.5 tan
Di dalam kabin, Porsche memperkenalkan Mood Modes yang mengawal kedudukan tempat duduk, pencahayaan, pendingin hawa dan profil bunyi secara automatik.
Antara ciri lain termasuk bumbung Panoramic Roof dengan kawalan cahaya boleh ubah, pemanas panel, pencahayaan ambien lanjutan dan jalur lampu komunikasi untuk status kenderaan.
Sistem digital pula merangkumi paparan Flow Display OLED melengkung, kluster instrumen 14.25-inci, skrin infotainmen 14.9-inci, Head-Up Display AR, serta Porsche App Centre dan Porsche Digital Key yang boleh dikongsi kepada tujuh pengguna.

Khusus untuk pasaran Malaysia, Cayenne Electric didatangkan standard dengan :
- penyaman udara empat zon
- tempat duduk hadapan 14-larasan elektrik
- tirai matahari belakang elektrik
- sistem audio BOSE Surround Sound
- Sport Chrono Package
- Automatic Parking
- stereng gandar belakang
- Storage Package
- soket kuasa 230V di ruang kargo.
Varian S Electric menerima lampu HD Matrix LED sebagai standard, manakala Turbo Electric dilengkapi sistem audio Burmester, Mood Modes dan paparan AR Head-Up Display.
Porsche turut menawarkan Cayenne Coupé Electric dengan profil lebih sporty diinspirasikan 911.
Walaupun lebih rendah, ia masih menawarkan ruang kargo sehingga 1,347 liter dan frunk 90 liter.
Senarai Harga Rasmi :
- Cayenne Electric RM699,000
- Cayenne S Electric RM759,000
- Cayenne Turbo Electric RM969,999
- Cayenne Coupé Electric RM749,000
- Cayenne S Coupé Electric RM805,000
- Cayenne Turbo Coupé Electric RM999,999
Dengan pelancaran ini, Porsche Malaysia mengukuhkan lagi komitmennya terhadap mobiliti elektrik berprestasi tinggi di pasaran tempatan.
































