Porsche Sportscar Together Day 2019 catat rekod himpunan terbesar

2255

Dengan kejayaan Sportscar Together Day yang pertama kali diadakan tahun lepas sempena ulangtahun ke-70 Porsche, Sime Darby Auto Performance (SDAP) menyambung tradisi itu dengan membawanya ke Malaysia tahun ini.

Tiada tempat lain yang lebih sesuai melainkan di Litar Antarabangsa Sepang. Acara ini menghimpunkan ribuan peminat bersama jentera lumba, kereta sports, pameran, pertunjukan dan berbagai aktiviti di atas litar serta di luar litar.



Dengan lebih 2,000 pengunjung, mereka dapat melihat dengan lebih dekat sejarah dan warisan 70-tahun jenama Jerman itu.

Di kawasan Fascination Porsche pula, mereka dapat menyingkap apa yang dirancang oleh Porsche untuk masa depan serta teknologi terkini.

Terdapat pameran barisan model 911 dari generasi pertama hingga terkini, selain penampilan istimewa oleh supercar hibrid Porsche 918 Spyder, jentera LeMans 919 Hybrid yang memenangi perlumbaan ketahanan berprestij, serta model Mission E dalam skala 1:3.

Sudah pasti agenda utama Sportscar Together Day – seperti pada namanya – ialah untuk peminat serta pemilik Porsche berhimpun.

Jadi, kesemua mereka berkumpul di atas litar membuat barisan, seterusnya memecahkan rekod himpunan terbesar Porsche di Malaysia. 320 buah kereta direkodkan. Kemudian mereka membuat perarakan di seluruh litar untuk meraikan pencapaian itu.

Selain itu, terdapat juga beberapa pameran dan aktiviti lain untuk seisi keluarga seperti Porsche Junior Driving Experience dan sesi simulator perlumbaan.

Porsche Macan S

Sempena acara ini juga, SDAP mengumumkan ketibaan Porsche Macan S ke pasaran Malaysia. SUV sports ini dikuasakan oleh enjin 3.0-liter Twin Scroll Turbo V6 dengan 354hp.

Enjin yang dipadan dengan transmisi PDK 7-kelajuan ini memberikan Macan S pecutan 0 ke 100km/j dalam 5.1 saat sahaja.

Porsche Macan S diberikan suspensi ringan serta pakej pengendalian responsif dan dijual pada RM625,000 termasuk Premium Package.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here