Proton Saga 2019 diperkenal dengan kelengkapan baharu, harga bawah RM40k!

5546

Proton melancarkan Saga 2019 hari ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Model segmen-A itu hadir dalam tiga varian, iaitu Standard MT berharga RM32,800, dan Standard AT serta Premium AT masing-masing berharga RM35,800 dan RM39,800.



Proton Saga 2019 diberikan kelengkapan baharu merangkumi penggayaan baharu, transmisi automatik 4-kelajuan baharu (menggantikan CVT) dan ciri infotainmen pintar.

Perubahan Proton Saga 2019

Secara umum, Proton Saga ini tidak jauh berbeza dari model sedia ada, tetapi ia menerima perubahan-perubahan kecil yang menjadikannya satu “keluarga” dengan model-model Proton lain seperti X70, Persona, Iriz dan Exora.

Bampar depannya kini lebih sporti dengan elemen kemasukan udara baharu, dan dilengkapkan dengan lampu DRL LED. Seperti model Proton lain, Saga juga kini mendapat kemasan infinite weave di grilnya.

Bampar belakang menerima tema gaya sama seperti depan iaitu lebih sporti, dan pada penutup but Saga kini terdapat tulisan PROTON menggantikan lencana jenama itu pada model sebelumnya. Dan untuk varian Premium, satu set roda aloi bersaiz 15-inci melengkapkan gaya luaran.

Di dalam pula, pembaharuan paling ketara ialah unit infotainmen yang kini menggunakan skrin 7-inci jenis “terapung” (varian Premium sahaja).

Sistem ini dilengkapi sambungan Bluetooth, kapasiti simpanan dalaman 16GB dan sambungan telefon pintar untuk Android.

Terdapat juga balutan baharu untuk tempat duduk, panel tengah rekaan baharu, kluster meter baharu dan bantuan pemanduan Eco, serta tiga slot USB.

Kemudahan Proton Saga 2019

Dari segi ciri kemudahan, Saga 2019 didatangkan dengan kunci pembuka but, pelindung matahari dengan pemegang kad dan cermin, lampu peta LED, dan pemegang genggaman baharu.

Perubahan terbesar pada aspek mekanikal adalah penggunaan transmisi automatik empat kelajuan yang menggantikan CVT.

Sebagai tambahan, beberapa aspek lain seperti prestasi brek, tahap NVH (bunyi, getaran dan kekasaran) serta pengendalian turut menerima sentuhan jurutera Proton. 

Selain dari itu, ia masih menggunakan enjin 1.3-liter 4-silinder DOHC yang menghasilkan 94hp dan 120Nm tork.

Ciri keselamatan standard pada Proton Saga 2019 termasuklah ABS, EBD, Brake Assist, beg udara depan, alat pengesan undur dan ISOFIX.

Saga Premium mendapat penambahan Hill Descent Control, alat pengesan hadapan, kamera undur, Electronic Stability Control (ESC) dan Traction Control System (TCS).

Ciri-ciri ini menjadikan Saga satu-satunya kereta bawah RM40,000 dengan ESC dan TCS.

Proton Saga baharu ini boleh didapati dalam lima pilihan warna. Iaitu – Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Rosewood Maroon dan Ruby Red.

Untuk lebih nilai tambah, Proton menawarkn tiga pakej standard:

1) Pakej servis dengan upah percuma sebanyak tiga kali atau setahun.
2) Pakej kadar faedah pembiayaan serendah 2.98%
3) Pakej insurans dengan pelbagai manfaat untuk pelanggan yang menginsuranskan dengan panel Proton

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here