Utama Berita Automotif Cycle & Carriage, Stellantis buka Pusat 3S Leapmotor Ke-6 di Johor

Cycle & Carriage, Stellantis buka Pusat 3S Leapmotor Ke-6 di Johor

5

Cycle & Carriage Malaysia memperluaskan lagi rangkaian jenama Leapmotor di negara ini menerusi pembukaan pusat 3S baharu di Johor Bahru.

Langkah itu mengukuhkan kerjasama strategik bersama Stellantis Malaysia serta meningkatkan akses pelanggan di wilayah selatan kepada kenderaan elektrik serta perkhidmatan selepas jualan.

Fasiliti terbaharu itu adalah cawangan Leapmotor keenam di bawah pengurusan Cycle & Carriage dan terletak secara strategik di kawasan perindustrian Kempas.

Dibangunkan di atas tanah seluas 3,783 meter persegi dengan keluasan binaan kira-kira 10,000 kaki persegi, pusat setingkat ini mengintegrasikan fungsi jualan, servis dan alat ganti di bawah satu bumbung.

Ruang pameran moden di dalamnya pula mampu memuatkan sehingga empat kenderaan pada satu masa.

Bagi mempertingkat pengalaman pelanggan, pusat berkenaan turut dilengkapi ruang konsultasi khas dan bilik penyerahan kenderaan persendirian bagi memastikan proses pembelian dan pengambilan kenderaan berlangsung secara eksklusif dan selesa.

Aras mezanin pula menempatkan pejabat operasi bagi menyokong aktiviti harian pusat tersebut.

Dari aspek lepas jualan, pusat 3S ini dilengkapi empat ruang servis dan bengkel, kawasan cucian kenderaan serta pusat perincian khusus.

Semua kemudahan itu direka bagi menyokong penyelenggaraan berkala dan servis kenderaan elektrik dengan lebih cekap, selaras dengan kepakaran Cycle & Carriage dalam penyampaian perkhidmatan berkualiti.

Ketua Pegawai Eksekutif Cycle & Carriage Malaysia, Adrian Short berkata, pembukaan pusat ini mencerminkan komitmen syarikat menyediakan pengalaman pemilikan yang lancar kepada pelanggan.

“Pembukaan Leapmotor Cycle & Carriage Johor Bahru 3S Centre mencerminkan komitmen kami dalam meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap jenama ini melalui pengalaman pemilikan yang menyeluruh.

“Kami teruja melihat pertumbuhan Leapmotor di wilayah selatan dan berharap lebih ramai pelanggan dapat menikmati perkhidmatan terbaik menerusi perkembangan ini,” katanya.

Pengarah Urusan Stellantis ASEAN, Isaac Yeo turut menegaskan bahawa pengembangan rangkaian pengedaran dan perkhidmatan kekal menjadi keutamaan syarikat.

“Pembukaan fasiliti di Johor Bahru merupakan langkah penting dalam membawa teknologi dan inovasi Leapmotor lebih dekat kepada pengguna di salah satu pasaran automotif yang berkembang pesat di negara ini,” ujarnya.

Cycle & Carriage dan Stellantis Malaysia turut memaklumkan perancangan untuk membuka lebih banyak fasiliti Leapmotor pada masa hadapan, termasuk di Lembah Klang dan Pulau Pinang.

Inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha memperluaskan akses kepada mobiliti elektrik dan memperkukuh keyakinan pengguna terhadap jenama berkenaan.

Pusat pameran beroperasi :

  • Isnin hingga Sabtu: 8.00 pagi – 6.00 petang
  • Ahad serta cuti umum: 11.00 pagi – 5.00 petang

Pusat servis pula beroperasi :

  • Isnin – Jumaat: 8.00 pagi – 5.00 petang
  • Sabtu: 8.00 pagi – 12.00 tengah hari
  • ditutup pada Ahad serta cuti umum.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here