
Kia Malaysia memperkukuh rangkaian pengedarnya di Malaysia Timur dengan pembukaan Pusat 3S Kia Kuching yang dikendalikan oleh Heng Lian Enterprise Bhd.
Pusat baharu di Jalan Abell itu mula beroperasi bagi memenuhi permintaan jualan, servis dan alat ganti kenderaan Kia, termasuk kenderaan elektrik di Sarawak.
Pusat 3S berkeluasan 4,796 kaki persegi itu dilengkapi bilik pameran yang boleh mempamerkan tiga model kenderaan Kia pada satu masa.

Bagi bahagian servis, pusat ini mempunyai dua ruang servis dengan kapasiti sehingga 260 kenderaan sebulan.
Ia juga dilengkapi peralatan diagnostik terkini Kia bagi memastikan kualiti penyelenggaraan mengikut piawaian global jenama tersebut.
Pelanggan turut disediakan ruang istirehat selesa dengan kemudahan WiFi percuma serta hidangan minuman dan snek semasa menunggu kenderaan diservis.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kia Sales Malaysia, Hyung Ho Kim berkata, pembukaan pusat ini adalah langkah strategik syarikat bagi memperluas kehadiran Kia di negara ini.
“Pembukaan Pengedar 3S Kia Kuching kendalian Heng Lian Enterprise Bhd ini merupakan langkah penting bagi kami. Ia mengukuhkan lagi kehadiran Kia di Malaysia dan mendekatkan jenama kami kepada pelanggan di Malaysia Timur.
“Bersama rakan pengedar, kami komited untuk menyediakan produk yang cemerlang, pengalaman pemilikan yang lancar, serta memberi standard khidmat pelanggan yang terbaik,” katanya.
Pengarah Urusan Heng Lian Enterprise, Kevin Law berkata, syarikatnya berbangga dapat bekerjasama dengan Kia selepas lebih empat dekad dalam industri automotif.
“Kami dengan bangganya mengumumkan pembukaan Pusat 3S Kia Kuching. Dengan pengalaman lebih empat dekad dalam industri automotif, Heng Lian berhasrat untuk menyediakan tahap jualan serta perkhidmatan lepas jualan yang tinggi untuk setiap kenderaan Kia.
“Pelaburan RM1.5 juta dalam membangunkan kemudahan ini menggariskan komitmen kami untuk menyokong pertumbuhan Kia di Malaysia Timur,” ujarnya.

Bilik pameran dibuka setiap hari dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang.
Manakala pusat servis beroperasi setiap hari kecuali Ahad.
Dengan pembukaan ini, Kia kini mempunyai 26 pengedar rasmi di seluruh Malaysia.































