Utama Berita Automotif Toyota Corolla 60th Anniversary untuk Eropah selepas A.S, bila giliran ASEAN dan...

Toyota Corolla 60th Anniversary untuk Eropah selepas A.S, bila giliran ASEAN dan Malaysia?

9

Toyota memperkenalkan edisi khas 60th Anniversary untuk Corolla di Eropah, melibatkan tiga gaya badan iaitu Hatchback, Touring Sports dan Sedan.

Edisi khas ini diperkenalkan sempena ulang tahun ke-60 Corolla yang mula dihasilkan pada 1966.

Berbanding versi Amerika Syarikat dalam jumlah terhad dan versi sedan, versi Eropah ditawarkan dalam tiga gaya badan sekaligus iaitu sedan, hatchback dan wagon.

Toyota Corolla kini memasuki generasi ke-12 dan dihasilkan di 12 lokasi di seluruh dunia, selain dipasarkan di 150 negara dan wilayah.

Setakat ini, lebih 57 juta unit Corolla telah dijual di seluruh dunia, menjadikannya antara model paling berjaya Toyota.

Di Eropah, Corolla menjadi antara model utama Toyota dengan pengeluaran di United Kingdom dan Turkiye.

Dengan penawaran di Amerika Syarikat dan Eropah, adakah model edisi ulang tahun ini bakal ditawarkan di ASEAN dan Malaysia?

Kemasan Khas Untuk Hatchback Dan Touring Sports

Corolla 60th Anniversary Hatchback dan wagon Touring Sports menerima warna eksklusif New Boreal Blue metallic dengan kemasan dua tona.

Ia dipadankan dengan bumbung dan tiang berwarna Night Sky Black.

Kedua-dua model turut menerima:

  • Roda aloi 17 inci 10 jejari dengan kemasan kusam dan gosokan (machined)
  • Nat roda berwarna chromed black
  • Kemasan perak kusam pada bahagian bawah bampar hadapan dan skirt sisi
  • Hiasan lampu kabus berwarna gelap
  • Kemasan pada pintu belakang dan penjuru bampar belakang
  • Lencana 60th Anniversary berwarna perak kusam pada bahagian bawah pintu belakang

Touring Sports turut menerima tambahan kemasan perak kusam pada bahagian bawah bampar belakang.

Di dalam, kedua-dua model dilengkapi plat ambang pintu dengan logo 60th Anniversary dan alas kaki dengan riasan perak kusam di hadapan dan belakang.

Sedan Warna Berbeza

Corolla Sedan 60th Anniversary mempunyai kemasan tersendiri menerusi warna Lunar Sky Blue.

Model ini berkongsi sebahagian besar elemen reka bentuk dengan Hatchback dan Touring Sports.

Di antaranya roda 17 inci, kemasan luaran, lencana 60th Anniversary, plat ambang pintu dan alas kaki khas.

Sedan turut menerima jalur kemasan matt silver pada bahagian bawah penutup but.

Selain warna khusus bagi setiap gaya badan, semua model 60th Anniversary turut boleh dipilih dalam kemasan Platinum White Pearl dan Ash Grey metallic.

Sistem Hibrid Generasi Kelima

Rangkaian Corolla Eropah menggunakan teknologi hibrid Toyota generasi kelima.

Bagi Hatchback dan Touring Sports, terdapat dua pilihan sistem iaitu 1.8 liter berkuasa 140 DIN hp dan 2.0 liter dengan kuasa sehingga 178 DIN hp.

Semua versi Sedan pula menggunakan sistem hibrid 1.8 liter.

Kelengkapan Standard

Corolla 60th Anniversary turut menerima kelengkapan teknologi yang lebih lengkap sebagai standard.

Antaranya ialah kelompok meter digital boleh ubah suai berukuran 12.3 inci dan sistem multimedia Toyota Smart Connect+ dengan skrin sentuh 10.5 inci.

Sistem multimedia tersebut menyediakan navigasi berasaskan awan dengan maklumat trafik terkini serta sistem perancangan laluan terbina dalam.

Dari aspek keselamatan dan bantuan pemanduan, Toyota T-Mate dibekalkan sebagai kelengkapan standard.

Antara fungsi yang disediakan ialah:

  • Sistem Pra-Pelanggaran dengan Pengelakan Pelanggaran Persimpangan
  • Kawalan Jelajah Adaptif Pintar
  • Amaran Keluar Lorong
  • Bantuan Penjejakan Lorong
  • Bantuan Stereng Kecemasan
  • Bantuan Isyarat Jalan Raya

Toyota turut menyediakan kemas kini fungsi keselamatan dan multimedia secara dalam talian atau over-the-air.

Versi Amerika Syarikat Berbeza

Untuk pasaran Amerika Syarikat, Toyota mengambil pendekatan berbeza dengan hanya menawarkan model sedan Corolla 60th Anniversary Special Edition 2027.

Model berasaskan varian SE Hybrid ini terhad kepada 2,500 unit dan ditawarkan dalam pilihan warna Ice Cap serta Supersonic Red yang eksklusif untuk edisi tersebut.

Toyota Corolla 60th Anniversary

Toyota Corolla Hatchback 60th Anniversary

Toyota Corolla Touring Sports 60th Anniversary

Toyota Corolla Sedan 60th Anniversary

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here