
Selepas berbulan mengharungi saingan sengit, Cabaran Pecut e-Sukan Porsche Malaysia 2026 (PESCM 2026) melabuhkan tirai di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang pada 22 Ogos lalu.
Pusingan akhir itu berlangsung bersempena minggu perlumbaan Porsche ARBox Carrera Cup Asia 2026.
Para pelumba simulasi muda terpantas negara berentap merebut gelaran juara, sekali gus berkongsi pentas dengan pelumba one-make terkemuka rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Auto Performance, Christopher Hunter berkata, kejohanan ini membuktikan hubungan semakin erat antara perlumbaan maya dan sebenar.
“Perlumbaan e-Sukan hari ini jauh lebih kompleks dan bukan hanya menggerakkan piksel di skrin. Ia menuntut tumpuan, ketepatan, disiplin dan keupayaan membuat keputusan dalam sepersekian saat di bawah tekanan — ciri yang sama penting di litar sebenar,” katanya.
“Sepanjang tiga tahun, PESCM terus berkembang sebagai platform kepada golongan muda menerokai minat dan bakat dalam sukan permotoran.
“Kejohanan ini memainkan peranan penting dalam memberi inspirasi serta memupuk generasi baharu bakat sukan permotoran di Malaysia,” tambahnya.
Memasuki edisi ketiga, PESCM 2026 mencatatkan penyertaan paling pelbagai. Selain tiga kategori sedia ada iaitu Junior Dreamers (10–14 tahun), Young Dreamers (15–17 tahun) dan Driven Dreamers (18–23 tahun), Porsche Malaysia memperkenalkan kategori baharu Female Dreamers untuk peserta wanita berumur 10 hingga 23 tahun.
Langkah itu bertujuan membuka lebih banyak ruang kepada wanita muda untuk menceburi sukan permotoran menerusi format perlumbaan digital-one-make.

Laluan ke Sepang direka menyerupai musim perlumbaan sebenar di mana setiap peserta bukan sahaja bertanding dalam talian, malah melalui pusingan kelayakan fizikal di litar maya yang terdapat dalam kalendar PCCA 2026.
Kelayakan bermula di Litar Antarabangsa Zhuhai dan 30 pelumba terpantas kemudian mewakili setiap Pusat Porsche untuk beraksi dalam pusingan kelayakan serantau di Ara Damansara, Sungai Besi, Pulau Pinang dan Johor Bahru, menggunakan Litar Antarabangsa Shanghai.
Selain merebut catatan masa terpantas, peserta turut berpeluang mewakili pusat pilihan mereka, sekali gus membina rasa identiti dan kekitaan.
Pusingan kelayakan disusuli sesi latihan individu bersama pelumba simulasi berpengalaman, sesi fotografi profil pemandu dan penilaian fizikal. Sepuluh pelumba terbaik setiap pusat kemudiannya mara ke pusingan kelayakan akhir di Pavilion Bukit Jalil yang berlangsung serentak dengan Pusingan 7 dan 8 PCCA di Bangsaen, Thailand.
Di Sepang, para finalis akan merasai suasana perlumbaan sebenar apabila beraksi bersebelahan PCCA. Kedudukan rapat dengan pemandu, pasukan dan jentera sebenar memberi inspirasi tambahan kepada peserta.

Selain trofi dan sijil, pemenang setiap kategori menerima pengalaman pemanduan Porsche eksklusif menerusi pakej pemenang tajaan Mobil 1.
Kerjasama 30 tahun antara Porsche dan Mobil 1 menekankan komitmen kedua-dua jenama dalam memupuk kecemerlangan kejuruteraan dan prestasi.
Setiap kenderaan Porsche yang keluar dari kilang kini menggunakan minyak enjin Mobil 1, yang telah terbukti dalam persekitaran perlumbaan paling mencabar di dunia.





























