Utama Berita Automotif GWM Malaysia jalin kerjasama Malayan Xpedition tahun kedua

GWM Malaysia jalin kerjasama Malayan Xpedition tahun kedua

4

GWM Malaysia meneruskan kerjasama strategik bersama Malayan Xpedition bagi tahun kedua menerusi Memorandum Persefahaman di Pusat Automotif GWM Subang pada 19 Ogos lalu.

Kerjasama itu memberi fokus kepada program pengembaraan overland yang membolehkan pemilik GWM TANK 300 dan TANK 500 menguji kemampuan sebenar kenderaan mereka dalam pelbagai keadaan, termasuk laluan off-road.

Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, Roslan Abdullah berkata, pengalaman pemilikan sesebuah kenderaan tidak seharusnya berakhir selepas penyerahan kunci.

“Malayan Xpedition menjadi platform yang membolehkan pemilik merasai sendiri kemampuan kenderaan mereka, bukan sekadar memahami spesifikasi di atas kertas.

“Ini selari dengan falsafah GWM dalam menawarkan pengalaman pemanduan yang menyeluruh,” katanya.

Menerusi kerjasama edisi 2026, GWM Malaysia akan bertindak sebagai penaja utama program berkenaan dan memberi sokongan penuh kepada pihak penganjur.

Sebagai tambahan, GWM Malaysia turut menawarkan subsidi yuran penyertaan kepada pemilik GWM TANK 300 dan TANK 500 yang layak bagi membolehkan mereka menyertai ekspedisi tersebut pada kadar istimewa.

GWM TANK 300 HEV tampil dengan gabungan kemampuan off-road, teknologi hibrid dan kepraktisan penggunaan harian.

Manakala TANK 500 HEV pula menawarkan ruang kabin lebih luas, tahap keselesaan premium serta prestasi lebih tinggi.

Menurut GWM, kedua-dua model dibangunkan untuk mengimbangi tiga elemen utama iaitu keupayaan, teknologi dan keselesaan dalam satu kenderaan.

Keupayaan keluarga TANK turut dibuktikan di pentas antarabangsa apabila dua jentera perlumbaan TANK 300 Diesel berjaya menamatkan Asia Cross Country Rally (AXCR) 2026 di Thailand.

Pertandingan merentas enam peringkat itu merangkumi laluan sejauh lebih 2,000 km merentasi pelbagai permukaan dan cabaran pemanduan ekstrem.

Jentera bernombor 114 yang dipandu Olan Sornsirirat bersama navigator Somkiat Noychat menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-12 keseluruhan dan keempat dalam Kelas T2A-D.

Sementara itu, jentera bernombor 128 yang dipandu Thovald Thovaldsen bersama navigator Chapphawit Junlasantirat menamatkan saingan di kedudukan ke-15 keseluruhan dan keenam dalam Kelas T2A-D.

Kedua-dua jentera dikendalikan oleh GWM Ek Group Racing Team dari Thailand dan berasaskan model TANK 300 Diesel versi jalan raya.

Pengubahsuaian yang dilakukan tertumpu kepada pematuhan piawaian keselamatan FIA dan peraturan Kelas T2.

Pengarah Urusan Operasi Komersial GWM Malaysia, Stan Li Hao berkata, penyertaan dalam AXCR menjadi ujian sebenar terhadap ketahanan kenderaan, prestasi powertrain dan kebolehpercayaan teknologi diesel GWM.

“Pengalaman pemilik melalui laluan mencabar di Malaysia bersama kejayaan menamatkan AXCR di Thailand menunjukkan kemampuan, ketahanan dan aspek kejuruteraan yang dibawa oleh keluarga TANK.

“Kami berbangga menawarkan TANK 300 dan TANK 500 di Malaysia sebagai kenderaan yang sesuai untuk kegunaan harian mahupun aktiviti mencabar,” katanya.

Sempena sambutan kemerdekaan, GWM Malaysia melancarkan kempen khas bermula 1 Ogos hingga 30 September 2026.

Pelanggan yang membuat tempahan dan mendaftarkan kenderaan GWM baharu dalam tempoh tersebut berpeluang memenangi cashback tol sehingga RM1,000 untuk enam pemenang.

GWM turut menawarkan penjimatan sehingga RM30,000 bagi model terpilih sepanjang bulan Ogos, serta penyelenggaraan servis percuma selama lima tahun bagi setiap pembelian kenderaan GWM baharu, tertakluk kepada terma dan syarat.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here