
Divisyen dua roda VinFast, VinFast E-Motorcycle melancarkan rangkaian skuter elektrik untuk pasaran Filipina yang terdiri daripada tiga model, iaitu Evo, Feliz II dan Viper.
Menariknya, ketiga-tiga skuter ini dilengkapi dengan unit rangkaian kuasa (motor dan MCU) dengan penarafan kalis air IP67.
Dalam bahasa mudah, ia direka untuk meredah laluan yang mudah dinaiki air.
Selain itu, ia juga mempunyai ketahanan terhadap habuk dan rendaman air sehingga 30 minit.
Dalam ujian yang dijalankan oleh VinFast, ketiga-tiga model ini boleh direndam dalam air setinggi 0.5 meter selama 30 minit dan ditunggang melalui air pada kedalaman sama untuk tempoh yang sama.
Dengan adanya penarafan ini dapat memberikan keyakinan kepada penunggang bahawa motosikal elektrik mereka kekal selamat walaupun ketika meredah hujan lebat.
Selain itu, bateri motosikal elektrik VinFast turut direka dengan perlindungan hentakan yang memenuhi piawaian keselamatan ECE-R136 Eropah.
Ketiga-tiga model Evo, Feliz II dan Viper dilengkapi dengan sistem bateri boleh tanggal, terdiri daripada dua bateri lithium iron phosphate 1.5 kWh.
Untuk model Evo, ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 5.2 kW (7 hp), kelajuan maksimum sehingga 80 km/j dan jarak tunggangan sehingga 150 km.
Skuter Feliz II pula mampu mencapai kelajuan maksimum 90 km/j, namun dengan jarak tunggangan kurang 5 km berbanding Evo.
Sementara Viper pula menawarkan prestasi setara, dan hadir dengan ciri yang lebih premium seperti skrin paparan TFT, kunci pintar, sistem anti-kecurian dan pengesanan kenderaan.

































