
Pengeluar kereta elektrik dari Vietnam, Vinfast dijangka akan memasuki segmen dua roda di pasaran India menjelang separuh kedua tahun ini.
Menurut laporan Autocar India, terdapat juga perancangan untuk mendirikan kilang pengeluaran motosikal dengan sasaran jangka panjang satu juta unit.
CEO Vinfast Asia Pham Sanh Chau berkata, program pembangunan motosikal Vinfast akan dibuat di fasiliti Tamil Nadu di mana syarikat itu sedang mengembangkan lagi infrastruktur sedia ada untuk menyokong produksi model dua roda elektrik.
Beliau turut mengesahkan skuter elektrik itu akan dibangunkan khusus untuk pasaran India sahaja.
Vinfast sudah pun mengadakan perbincangan dengan pembekal dari India untuk menyetempatkan komponen termasuklah bateri bagi menurunkan harga jualan dan meningkatkan daya saing.
Vinfast turut menjalankan kajian terperinci terhadap tahap penggunaan setempat, infrastruktur, jarak tunggangan tipikal dan sensitiviti harga masyarakat, mencadangkan skuter yang bakal dilancarkan itu akan diposisikan sebagai produk bervolum tinggi dan mampu milik.
Berdasarkan carian ringkas di laman web rasmi, Vinfast sudah pun menawarkan beberapa buah model skuter elektrik untuk pasaran Vietnam dengan harga jualan bermula dari 17,800,000 dong (RM2,717).






























