
Porsche telah melancarkan Porsche Cayenne Electric yang juga generasi keempat dalam siri Cayenne.
Cayenne Electric merupakan Porsche pengeluaran paling berkuasa pernah dihasilkan, menggabungkan prestasi ekstrem dengan praktikatliti sebuah SUV.
Cayenne Electric (E4) dibangunkan di atas seni bina Premium Platform Electric (PPE) 800-volt yang canggih.
Kehadiran model EV tidak bermakna Cayenne enjin pembakaran dalaman (ICE) di pasaran ditamatkan malah ditawarkan secara seiring.
Prestasi Luar Biasa: Kuasa Puncak 1,156 ps
Cayenne Electric diperkenalkan dalam dua varian pacuan semua roda (AWD) dua motor.
- Cayenne Electric (Asas): Menawarkan kuasa puncak sehingga 442 ps dan 835Nm (dengan Launch Control). Mampu memecut dari 0-100 km/j dalam 4.8 saat dengan kelajuan maksimum 230 km/j.
-
Cayenne Turbo Electric: Varian unggulan yang menjana sehingga 1,156 ps (850kW) dan 1,500Nm dengan Launch Control diaktifkan. Model Porsche pengeluaran paling berkuasa, pecutan 0-100 km/j dalam hanya 2.5 saat.
Seni Bina 800-Volt dan Pengecasan Ultra Pantas
Aspek teknologi EV adalah kekuatan utama Cayenne Electric, terutamanya dalam pengurusan tenaga dan jarak pemanduan.
Kedua-dua model dilengkapi bateri berkapasiti 113 kWj yang baru dibangunkan.
Menggunakan seni bina 800-volt, Cayenne Electric menawarkan jarak WLTP yang menarik iaitu sehingga 642 km untuk model asas dan 623 km bagi varian Turbo.
Sistem 800-volt ini juga membolehkan pengecasan Kuasa Terus (DC) pada kadar sehingga 390 kW (dan memuncak sehingga 400 kW).
Ini menghasilkan masa pengecasan yang luar biasa:
- Tempoh Cas: 10% hingga 80% State of Charge (SoC) dapat dicapai dalam masa kurang daripada 16 minit.
- Jarak Tambahan: Pengecasan pantas selama 10 minit boleh menambah jarak sehingga 325 km (Cayenne Electric).
- Pengecasan Tanpa Wayar: Cayenne Electric adalah Porsche pertama yang boleh menggunakan pengecasan induktif (tanpa wayar) sehingga 11 kW sebagai pilihan.
- Brek Regenerasi: Sistem ini mencapai pemulihan tenaga sehingga 600 kW, membolehkan sekitar 97% daripada operasi brek harian dikendalikan sepenuhnya oleh motor elektrik.
Casis Dinamik dan Praktikaliti Harian
Untuk memastikan pemanduan yang setanding dengan namanya, Cayenne Electric dilengkapi dengan teknologi casis termaju.
Suspensi udara adaptif dengan Porsche Active Suspension Management (PASM) dipasang sebagai standard.
Porsche juga menawarkan sistem suspensi aktif Porsche Active Ride yang canggih sebagai pilihan, serta pembelokan roda belakang.
Di samping itu, Cayenne Electric mempunyai pekali seretan (Cd) yang sangat rendah iaitu 0.25, hasil daripada sistem Porsche Active Aerodynamics (PAA).
Dari segi praktikaliti, Cayenne Electric memberikan ruang yang lebih baik:
- Dimensi: Generasi E4 55 mm lebih panjang berbanding model ICE, dengan jarak roda yang lebih panjang, memberikan tambahan 130 mm ruang kaki di tempat duduk belakang.
- Kapasiti Kargo: Ruang kargo belakang di antara 781 liter hingga 1,588 liter, ditambah dengan frunk (bagasi hadapan) sebesar 90 L.
Dalaman Canggih dan Teknologi Paparan AR
Bahagian dalam Cayenne Electric menjalani perubahan menyeluruh.
Papan pemuka kini menampilkan ‘Flow Display’ baharu, iaitu unit OLED melengkung yang menghubungkan papan pemuka dengan konsol tengah.
Ini termasuk kluster instrumen pemandu OLED bersaiz 14.25-inci dan skrin untuk penumpang hadapan bersaiz 14.9-inci (pilihan).”
Untuk keselamatan dan navigasi,pilihan papar pandu (HUD) dengan teknologi realiti terimbuh (AR) boleh didapati.
Ia menggunakan paparan maya ke atas jalan untuk menyediakan panduan navigasi dan keselamatan tambahan kepada pemandu.
Meskipun galak dengan digitalisasi, Porsche mengekalkan butang kawalan analog untuk fungsi kerap guna seperti penyaman udara dan radio dan mengimbangi teknologi canggih dengan ergonomi yang praktikal.
Secara keseluruhannya, Cayenne Electric mewakili lebih daripada sekadar sebuah SUV elektrik.
Ia adalah kesinambungan DNA Porsche yang kini digabungkan dengan teknologi 800-volt.
Dengan kuasa puncak 1,156 ps dan jarak 642 km, model ini bukan sahaja menetapkan standard baharu dari segi prestasi dan pengecasan ultra pantas, tetapi juga mengekalkan kepelbagaian ciri Cayenne yang terkenal iaitu dinamika di atas jalan raya, keyakinan laluan off-road dan selesa untuk perjalanan jarak jauh.




































