
Perodua akhirnya memecahkan kesunyian mengenai hala tuju kenderaan elektrik (EV) mereka menerusi satu video teaser terbaharu yang sarat dengan mesej patriotik dan visi masa depan.
Berbeza dengan jangkaan ramai yang mahu melihat bentuk fizikal kereta sepenuhnya, video berdurasi 33 saat itu memilih untuk menonjolkan jiwa dan intipati di sebalik pembikinan EV nasional tersebut yang mengetengahkan ‘sentuhan binaan anak watan, untuk rakyat Malaysia’.
Video bermula dengan imej seorang kanak-kanak bermain kereta mainan yang bertukar menjadi hologram digital, disusuli dengan jurutera tempatan menggunakan teknologi Augmented Reality (AR).

Perodua menghantar mesej jelas ia bukan model “rebadge”. Naratif “But with local hearts and hands, that dream became real” (Dengan hati dan tangan anak tempatan, impian itu menjadi nyata) membuktikan bahawa kepakaran jurutera Malaysia menjadi tulang belakang utama projek EV tersebut.
Kemudian ia memaparkan pemandangan bandar raya di waktu malam dengan mesej bahawa Perodua menawarkan EV lebih mampu milik.
Seperti mana dimaklumkan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad yang mana EV tersebut bakal dijual di bawah RM80,000.
Justeru itu, Perodua mengesahkan komitmen mereka untuk menghasilkan “EV Rakyat” yang tidak membebankan poket, sejajar dengan status syarikat sebagai jenama nombor satu negara.
BANGUNKAN EKOSISTEM LENGKAP

Perodua turut menekankan bahawa projek EV itu bukan hanya tentang menjual kereta. Video tersebut memaparkan gambaran kilang futuristik dengan panel solar dan pelbagai lapisan masyarakat.
Visi jenama nasional itu adalah untuk membangunkan satu ekosistem lengkap yang merangkumi peluang pekerjaan, pembangunan bakat, dan pemindahan teknologi.
Ia juga selari dengan paparan teks “National Carbon Neutrality Goal by 2050”, menunjukkan keseriusan Perodua dalam agenda kelestarian alam sekitar negara.
Walaupun rupa bentuk penuh kereta tersebut masih lagi misteri dengan hanya memberi bayangan siluet dan konsep hologram, teaser itu berjaya membina keyakinan bahawa EV pertama Perodua ini adalah satu kebanggaan nasional yang berbaloi untuk dinantikan.
Jadi apakah nama EV pertama Perodua itu?, walaupun kami cuba menggunakan tahap kecerahan tertinggi pada imej tangkap layar yang diambil namun masih tidak dapat mengesan sepenuhnya nama pada nombor plat berkenaan.
Namun, menurut Paultan yang menggunakan pakar rendering merangkap detektif auto mereka, bahagian nombor plat kereta tertulis ‘QV-E’ mengesahkan nama yang bakal digunakan oleh Perodua.






























