
Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) menerusi Ops Khas Kenderaan Perdagangan menyita lori sampah yang dipandu warga asing di Jalan Bukit Indah Utama, Ampang pada Khamis.
Dalam operasi berkenaan pihak JPJ mengesan pemandu tersebut melakukan kesalahan tiada lesen memandu Kompeten (CDL) dan lesen memandu kenderaan barangan/perkhidmatan (GDL) serta cukai jalan dan pemeriksaan berkala Puspakom tamat tempoh.

“Walaupun cukai jalan telah tamat tempoh namun insurans masih aktif dan kenderaan perdagangan itu telah disita,” menurut kenyataan.
JPJ WPKL sentiasa memberi perhatian dan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas semua aduan dan memastikan kenderaan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan.
Sebarang aduan kesalahan lalulintas, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan beserta butiran pengadu dan butiran aduan.






























