
Imej intip kenderaan elektrik (EV) sulung Perodua terus menjadi perhatian ramai. Terbaru, satu lagi imej intip dikongsi oleh pengguna Facebook Afiq Roslan yang mana kali ini mendedahkan bahagian dalam sisi pintu belakang.
Walaupun imej yang dirakam di Jalan Maarof, Kuala Lumpur itu tidak memperlihatkan keseluruhan rekaan dalaman, ia memberikan sedikit gambaran sentuhan dan kualiti yang bakal ditawarkan oleh pengeluar kereta nasional itu.
Kali ini, panel pintu belakang itu didatangkan dengan kemasan perak dan hitam. Boleh dilihat kemasan mahupun kualiti binaan pada EV tersebut berbeza dengan model Perodua sedia ada.
Ia menampilkan gabungan kemasan lembut namun sayangnya bahagian rekaan papan pemuka depan terlindung oleh tiang B. Selain itu, boleh dilihat bingkai sisi pintu itu menunjukkan unit ujian didatangkan dengan warna badan kelabu.
Manakala, rekaan tingkap belakang kelihatan agak tinggi dan kecil memberikan sedikit persamaan dengan gaya yang popular pada model Toyota CH-R.
Sejak kebelakangan ini, pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) giat menjalankan ujian enduran sekitar Lembah Klang.
Imej-imej intip sebelumnya banyak memfokuskan pada rekaan luaran yang mana SUV segmen-B itu itu dikatakan menyerupai gaya sebuah crossover kompak.
Beberapa ciri menarik yang berjaya dikesan termasuklah garis bumbung yang landai, pemegang pintu yang disatukan dengan badan dan hendal pintu penumpang belakang yang tersembunyi mirip Toyota CH-R.
Walaupun Perodua masih belum mendedahkan spesifikasi terperinci EV sulung berkenaan, maklumat awal yang dikongsi adalah ia bakal menggunakan bateri daripada CATL yang mampu memberikan jarak pemanduan kira-kira 400km.
Perodua juga akan memperkenalkan model langganan bateri yang dikenali sebagai Battery-as-a-Service (BaaS) yang pertama di Malaysia.
Inisiatif ini bertujuan untuk mengurangkan kos pembelian awal EV dan memastikan pemilik bateri dalam keadaan terbaik.
Kemunculan EV pertama Perodua ini pastinya dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia. Sebagai pengeluar kereta nombor satu di negara ini, kehadiran pesaing Proton e.MAS 5 ini dijangka akan memeriahkan lagi pasaran EV tempatan dan menjadikannya lebih mudah diakses oleh pelbagai lapisan masyarakat.