Utama Berita Automotif Naquib Azlan wakil Porsche Malaysia dalam Porsche Carrera Cup Asia 2026

Naquib Azlan wakil Porsche Malaysia dalam Porsche Carrera Cup Asia 2026

6

Porsche Malaysia menerusi Sime Darby Auto Performance mengumumkan penyertaan mereka dalam Porsche Carrera Cup Asia 2026.

Pasukan ini mempertaruhkan pelumba simulasi (sim racer) Malaysia – yang kini beralih ke litar lumba sebenar – Naquib Azlan, di bawah Team Porsche Malaysia dengan kerjasama Earl Bamber Motorsport (EBM) dan Axle Motorsports.

Dia bakal bersaing dalam kategori PRO untuk sepanjang kejohanan musim ini.

Langkah ini menunjukkan komitmen Porsche Malaysia membangunkan potensi bakat sukan permotoran tempatan — menyediakan laluan berstruktur daripada perlumbaan maya ke peringkat pertandingan antarabangsa.

“Sukan permotoran berakar umbi dalam DNA Porsche, dibentuk warisan perlumbaan selama lebih 75 tahun. Di Porsche Malaysia, kami komited untuk mewujudkan platform bermakna bagi bakat tempatan — sama ada di litar maya mahupun litar sebenar — untuk mengejar impian dan merealisasikan potensi mereka.

“Transisi Naquib Azlan daripada perlumbaan simulasi ke Porsche Carrera Cup Asia membuktikan apa yang mampu dicapai apabila prestasi, disiplin, dan peluang bersatu,” kata Christopher Hunter, Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Auto Performance (Auto Performance).

Bermula dengan Naquib, Porsche Malaysia terus melabur dalam generasi pemandu tempatan masa hadapan — mengiktiraf bakat sukan permotoran boleh muncul dari litar fizikal mahupun dunia e-Sukan yang kian berkembang.

Dari Dunia Maya ke Realiti

Naquib, 26, memulakan perjalanan sukan permotorannya pada tahun 2020 melalui perlumbaan simulasi kompetitif.

Dia mengasah kemahiran dan pemahaman teknikal sebelum beralih ke persaingan di atas litar sebenar.

Selepas dinobatkan juara kategori Driven Dreamers dalam acara sulung Porsche Esports Sprint Challenge Malaysia pada 2025, Naquib dipilih untuk program Porsche Carrera Cup Asia Talent Pool.

Inisiatif ini mengenal pasti dan menyokong pemandu berbakat menerusi bimbingan profesional, kem latihan, serta pembangunan prestasi berstruktur.

Apa yang bermula di arena maya kini berkembang menjadi kempen musim penuh dalam kejohanan one-make terulung Porsche; Porsche Carrera Cup Asia — sebuah platform kompetitif di mana jentera identikal meletakkan keupayaan pemandu sebagai faktor penentu kemenangan.

Bersaing dalam arena GT, Naquib melangkah ke salah satu grid perlumbaan paling mencabar di Asia.

“Perkenalan pertama saya dengan sukan permotoran adalah melalui perlumbaan simulasi, dan saya terus terpikat sejak awal.

“Bertanding dalam Porsche Esport Sprint Challenge Malaysia membuka pintu yang tidak pernah saya bayangkan.

“Dapat berlumba bersama Porsche Malaysia, yang mempunyai warisan perlumbaan yang kuat, adalah satu penghormatan yang besar. Saya amat berterima kasih atas kepercayaan dan sokongan daripada pasukan Porsche Malaysia, serta bimbingan daripada Axle Motorsports sepanjang perjalanan ini.

“Saya tidak sabar untuk mewakili Malaysia dan Porsche di pentas antarabangsa,” kata Naquib.

Sebagai persiapan musim hadapan, Naquib baru-baru ini melengkapkan Hari Ujian Rasmi di Litar Antarabangsa Zhuhai dari 28 Februari hingga 1 Mac.

Dia mencatatkan masa pusingan terpantas keseluruhan dalam sesi tersebut dengan catatan 1:35.391.

Penampilan Ikonik dalam Warna Biru

Bagi musim 2026, Team Porsche Malaysia akan tampil dengan liveri biru tersendiri dengan perincian jingga, mencerminkan warna jenama Sime Motors.

Bahagian bumbung jentera 911 GT3 Cup (992.2) pula menampilkan susun atur rasmi litar Porsche Experience Centre Singapore.

Liveri ini akan digunakan secara konsisten di semua pusingan kejohanan, dengan Naquib berlumba menggunakan nombor 17.

Musim 2026 Porsche Carrera Cup Asia akan bermula di Shanghai, China, dari 14–15 Mac, sebelum menjelajah ke litar-litar utama di seluruh rantau.

Kejohanan ini akan kembali ke Litar Antarabangsa Sepang pada penghujung musim untuk Pusingan 9, 10, dan 11, menampilkan dua perlumbaan pecut (sprint) dan satu hujung minggu menggunakan format endurance.

Saksikan aksi Team Porsche Malaysia pada hujung minggu ini di Litar Antarabangsa Shanghai.

Ikuti perkembangan lanjut di Facebook dan Instagram Porsche Malaysia atau layari laman web rasmi Porsche Malaysia untuk maklumat lanjut.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here