
Grab Malaysia hari ini mengumumkan dua inisiatif utama bersempena Hari Wanita Antarabangsa 2026 bagi memberikan wanita lebih pilihan, keselesaan dan ketenangan fikiran di sepanjang perjalanan.
Di samping itu, ia juga dapat membuka lebih peluang menjana pendapatan kepada wanita di platform ini.
Melalui Women-Only Rides (Beta) oleh Grab, ia menawarkan perkhidmatan yang memadankan penumpang wanita secara eksklusif dengan rakan pemandu wanita.
Selain itu, Grab juga melancarkan kempen pengambilan rakan pemandu wanita baharu di seluruh negara bagi meluaskan lagi komuniti rakan pemandu wanita di Malaysia.
Kini tersedia secara eksklusif melalui tempahan awal (Advance Booking) di Lembah Klang, perkhidmatan Women-Only Rides (Beta) diperkenalkan bagi memenuhi permintaan daripada rakan pemandu dan juga pengguna wanita yang mahukan pilihan keselamatan dipertingkat, terutama ketika melakukan perjalanan bersendirian.

Pilihan perjalanan ini hanya dapat dilihat oleh penumpang wanita dan padanan dibuat secara eksklusif dengan rakan pemandu wanita yang disahkan, sekali gus memberikan keyakinan tambahan kepada kedua belah pihak.
Bagi memastikan integriti platform, penumpang perlu melengkapkan proses pengesahan sekali sahaja menggunakan MyKad (atau pasport) beserta swafoto untuk pengesahan jantina, yang akan disemak silang dengan rekod rasmi sebelum mereka boleh mengakses perkhidmatan ini.
“Pelancaran ini mengukuhkan lagi komitmen Grab sekian lama terhadap keselamatan dan pemerkasaan wanita.
“Dibina berasaskan infrastruktur keselamatan sedia ada Grab, perkhidmatan Women-Only Rides (Beta) memperluaskan inisiatif #SisBoleh yang bermula pada tahun 2023.
“Ini bukan sekadar ciri baharu, tetapi usaha memastikan setiap wanita mempunyai ruang selamat untuk bergerak dan menjana pendapatan,” kata Adelene Foo, Pengarah Urusan Grab Malaysia.
Perkhidmatan Women-Only Rides (Beta) lengkap dengan langkah keselamatan awam yang lebih luas seperti gerabak keretapi khas wanita dan zon parkir khusus untuk wanita, dengan memperluaskan perlindungan tersebut ke perjalanan jarak akhir (last mile) yang amat penting.

Perkhidmatan ini dilancarkan semasa sambutan Hari Wanita Antarabangsa Grab, yang dianjurkan oleh pemimpin wanita kanan Grab untuk rakan pemandu wanita, dan dihadiri Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Lim Hui Ying.
Acara ini menekankan komitmen bersama untuk mobiliti yang lebih selamat dan inklusif bagi wanita di seluruh Malaysia.
Memperluas Akses Ekonomi
Bagi memenuhi permintaan berpotensi untuk Women-Only Rides (Beta) serta mewujudkan peluang pendapatan lebih fleksibel, Grab melancarkan kempen Pengambilan Rakan Pemandu Wanita (Women Driver Acquisition), yang berlangsung dari 8 Mac sehingga 30 September 2026.
Inisiatif seluruh negara ini bertujuan memperluaskan komuniti rakan pemandu wanita dengan berpandukan piawaian keselamatan kukuh yang diterapkan oleh platform ini.
Kempen ini menggalakkan lebih ramai wanita memanfaatkan peluang menjana pendapatan fleksibel Grab sambil menyediakan alat dan sokongan diperlukan untuk berkembang dalam ekonomi digital.
Rakan pemandu wanita baharu berpeluang memperoleh ganjaran bernilai keseluruhan RM100,000 termasuk baucar minyak dan hadiah utama Proton Saga.
Selain ganjaran, kempen ini menjemput lebih ramai wanita menyertai komuniti di mana mereka boleh menjana pendapatan secara fleksibel sambil merasa lebih selamat dan disokong di jalan raya.
Pengumuman ini menandakan evolusi #SisBoleh, inisiatif pemerkasaan wanita Grab yang mula diperkenalkan pada tahun 2023.
Dibina berdasarkan tiga teras iaitu #SisBoleh Drive With Confidence, #SisBoleh LevelUp, dan #SisBoleh Community, program ini berkembang menjadi ekosistem menyeluruh yang menyokong rakan pemandu dan penghantar wanita Grab dengan memberi mereka keselamatan, kemahiran dan perasaan kekitaan sejak mereka menyertai platform ini.

Perkhidmatan Women-Only Rides (Beta) dan kempen Women Driver Acquisition beroperasi berasaskan rangka keselamatan menyeluruh Grab, yang direka supaya setiap pengguna boleh bekerja dan bergerak dengan selamat, yakin, dan berkesan dalam apa jua persekitaran:
- Saringan keselamatan semasa pendaftaran: Setiap rakan pemandu menjalani proses saringan ketat sebelum menyertai platform, termasuk pemeriksaan keselamatan dan saringan kesihatan fizikal
- Pengesahan Wajah Berkuasa AI: Rakan pemandu dan penumpang dikehendaki menghantar swafoto secara langsung sebelum mengakses aplikasi; model pembelajaran mesin akan menentukan sama ada wajah itu asli atau tidak berdasarkan pergerakan dan pencahayaan, bagi mengelakkan akses palsu
- Penyamaran Nombor: Melindungi dan memastikan privasi maklumat perhubungan kedua-dua pihak dengan memaparkan satu set digit rawak dan bukan nombor telefon sebenar
- Kongsi Perjalanan: Semasa perjalanan, rakan pemandu dan penumpang boleh berkongsi butiran perjalanan secara masa nyata dengan individu yang dipercayai, sekali gus memberikan keluarga dan rakan lebih ketenangan fikiran
- Butang SOS “Dapatkan Bantuan Kecemasan”: Menyediakan bantuan kecemasan 24/7 dengan satu sentuhan
- AudioProtect: Menyediakan rakaman audio yang disulitkan dan hanya boleh diakses sekiranya berlaku laporan insiden keselamatan. AudioProtect adalah wajib untuk perjalanan pada waktu malam (10 malam – 6 pagi)
- Teknologi pemantauan perjalanan: Membantu mengesan kemungkinan insiden keselamatan dengan mengumpul isyarat daripada pelbagai sumber untuk mengenal pasti sama ada berlakunya hentian tidak dirancang, penyimpangan laluan atau perlanggaran kenderaan
- Penyelesaian Telematik: Dengan menggunakan data telematik yang diperoleh melalui sensor pada telefon bimbit pemandu, Grab menyediakan laporan diperibadikan bagi membantu rakan pemandu mengenal pasti tingkah laku pemanduan yang tidak selamat serta memberi ganjaran kepada mereka yang sentiasa mengekalkan piawaian keselamatan yang tinggi.
“Beroperasi secara senyap di belakang tabir, ciri-ciri keselamatan ini membantu memastikan setiap perjalanan Women-Only Rides (Beta) dan setiap perjalanan Grab terasa lebih selamat, supaya wanita dapat memberi tumpuan kepada destinasi seterusnya dan apa yang ingin mereka capai, bukan bagaimana mereka akan pulang ke rumah,” ujar Adelene.




























