
Laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Shah Alam tidak akan memulakan operasi tahun ini susulan keperluan menyelesaikan isu kestabilan sistem dan perisian sebelum laluan dibuka kepada orang ramai.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Amir Hamdan berkata pihaknya tidak akan membuka laluan tersebut secara tergesa-gesa mengikut tarikh asal yang ditetapkan, sebaliknya mendahulukan aspek keselamatan penumpang.
“Jika pintu tidak terbuka dan penumpang terpaksa turun di stesen seterusnya, sudah tentu ia mencacatkan pengalaman mereka.
“Sebaliknya, kita mahu sistem yang stabil, selamat dan boleh dipercayai,” katanya.
Amir memaklumkan, laporan kemajuan projek disampaikan kepada Menteri Pengangkutan setiap minggu, malah kadangkala dua kali seminggu bergantung kepada perkembangan semasa.
Menurutnya, kerajaan juga mahukan projek itu disiapkan secepat mungkin, namun tetap menekankan keutamaan terhadap keselamatan dan kebolehpercayaan operasi.
Beliau menjelaskan bahawa tarikh baharu pembukaan operasi hanya akan diumumkan pada pertengahan Januari tahun depan, selepas kestabilan sistem isyarat dan perisian disahkan sepenuhnya.
PERLUKAN UJIAN PANJANG KUMPUL DATA

Tambahnya, isu seperti pintu tren tidak terbuka, tren berhenti tidak tepat di platform atau gangguan sistem hanya akan muncul selepas tren diuji dalam jarak ribuan kilometer.
“Jika kita uji 100 atau 200km memang tiada masalah, tetapi apabila mencecah 2,000 atau 4,000 kilometer, barulah masalah ini berlaku sesekali.
“Sebab itu kita perlukan ujian panjang untuk mengumpul data dan mengeluarkan tampalan perisian (software patch),” katanya.
Beliau memaklumkan bahawa sebanyak 22 set tren perlu melepasi ujian larian tanpa gagal (FFR) dan setakat ini satu set tren telah mencapai 4,000km (dikenali sebagai golden train).
“Tiga lagi set tren telah mencapai 3,000km manakala 18 set selebihnya sedang menjalani ujian jarak jauh,” katanya.
Prasarana menyasarkan semua ujian dapat diselesaikan menjelang akhir Januari, namun jadual sebenar hanya akan disahkan pertengahan bulan depan.
Dalam pada itu, Amir menjelaskan bahawa sebanyak 33 isu teknikal yang dikenal pasti sepanjang dua bulan lalu telah mempunyai penyelesaian melalui kemas kini perisian.
Bagaimanapun, setiap patch masih memerlukan tempoh ujian untuk memastikan keberkesanannya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pembekal sistem isyarat, Siemens dan pembuat tren, CRRC, memberi sokongan penuh termasuk bantuan teknikal dari Jerman bagi menyelesaikan isu-isu yang timbul.
“Kos projek kekal seperti kontrak asal kerana ia merupakan kontrak kos tetap sekali gus menafikan dakwaan berlakunya peningkatan kos akibat kelewatan,” katanya.

















![[Video] Padah parkir bahu jalan, lima kenderaan rosak teruk diseret di LRT Glenmarie](https://www.motoqar.com/wp-content/uploads/2025/06/parkir-218x150.png)








