MPV elektrik tanpa pengecasan menerusi Nissan Serena e-POWER

6

PENGEDAR rasmi Nissan di Malaysia, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd bakal melancarkan Nissan Serena e-POWER serba baharu yang dijangka menjadi model kedua di Malaysia menggunakan sistem pemanduan e-POWER.

Ia sekali gus menetapkan penanda aras baharu dalam segmen kenderaan pelbagai guna (MPV) bersaiz sederhana.

Sejak diperkenalkan di Jepun pada 1990-an, Serena sering menjadi rujukan dalam segmen MPV dengan kebolehgunaan serta kepelbagaian tinggi.

Di Malaysia, model itu turut menjadi pilihan pembeli kerana ciri praktikal, boleh dipercayai selain jimat bahan api.

Serena generasi keenam, C28, hadir dengan rangkaian kuasa dipacu 100 peratus motor elektrik, menawarkan prestasi dan keselesaan pemanduan lebih responsif, satu ciri yang belum pernah ditawarkan dalam segmen MPV.

Ketua Pegawai Eksekutif Edaran Tan Chong Motor, Khoo Cheng Pah berkata, Serena kekal sebagai model penting bukan sahaja dari segi jualan tetapi sebagai produk yang mencerminkan nilai jenama Nissan.

“Serena e-POWER meningkatkan lagi kekuatan C27 Serena S-Hybrid dengan prestasi, penapisan dan kecekapan lebih baik.

“Pemanduan yang lebih lancar dan responsif ini pasti dinikmati seisi keluarga,” katanya pada sesi previu eksklusif Nissan Serena e-Power di sini.

Nissan Serena e-POWER

Sistem e-POWER pada Serena baharu ini menggabungkan motor elektrik berprestasi tinggi berkuasa 163PS dan 315Nm dengan enjin pembakaran dalaman 1.4 liter.

Semua itu berfungsi khusus sebagai penjana elektrik, bersama bateri litium-ion 1.769kWh.

Enjin baharu HR14DDe 1.4L tiga silinder menjadi penjana kuasa, hadir dengan teknologi suntikan terus serta Mirror Bore Coating, yang membantu mengurangkan geseran, getaran dan bunyi.

Hasilnya, operasi enjin menjadi lebih senyap dan lancar apabila diaktifkan untuk mengecas pek bateri serta membekalkan tenaga bagi menjana motor

Kuasa disalurkan sepenuhnya melalui motor elektrik menjadikan pecutan lebih pantas dan lancar hasil penghantaran tork serta-merta seperti sebuah kenderaan elektik (EV).

Dengan sistem penjanaan kuasa sendiri, e-POWER membolehkan pemilik menikmati manfaat pemanduan seperti EV tanpa perlu mengecas di rumah atau mencari stesen pengecas, sekali gus mengatasi masalah keresahan jarak yang biasa dialami pemilik EV tulen.

“Nissan e-POWER menjadi pemangkin kepada prestasi dan kebolehgerakan tanpa sebarang kebergantungan terhadap kecekapan bahan api, termasuk pada sebuah MPV berorientasikan keluarga seperti Serena,” katanya.

Beliau berkata, sambutan menggalakkan terhadap Nissan Kicks e-POWER sebelum ini memberi keyakinan kepada syarikat untuk kembali menaikkan tanda aras dalam segmen MPV menerusi pelancaran Serena e-POWER yang akan datang.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here