Menteri : Pelantikan ejen pemungut tidak libatkan komisen daripada JPJ

13

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menafikan tuduhan kononnya pelantikan ejen pemungut baharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melibatkan komisen atau mengaut keuntungan daripada jabatan berkenaan.

Beliau berkata syarikat yang memohon kebiasaannya adalah platform berasaskan teknologi yang ingin memudahkan pelanggan menerusi tawaran perkhidmatan JPJ sebagai perkhidmatan nilai tambahan, dan harus mengembalikan 100 peratus nilai yang dikutip kepada kerajaan.

Loke berkata antaranya platform jual beli kenderaan dalam talian yang membantu pelanggan mereka jelaskan saman sebelum menjual kereta, kemudian menukar hak milik serta pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM).

“Syarikat seperti ini mahukan status ejen pemungut agar semua transaksi boleh diselaraskan berbanding berurusan dengan JPJ sebanyak tiga kali. Mereka bukan sahaja tak dapat komisen, malah sesetengah transaksi seperti tukar hak milik, mereka kena bayar JPJ.

“Kalau sekadar transaksi sekali beri, aplikasi MyJPJ sudah tentu lebih mudah (kepada orang ramai). Dengan perkembangan pendigitalan, akan ada lagi platform dalam talian yang memohon status ejen pemungut dan Kementerian Pengangkutan akan memudah cara,” katanya.

Loke berkata sebanyak 10 ejen pemungut dilantik sejak 2016, namun JPJ tidak pernah membayar apa-apa komisen.

“Pembangkang menguar-uarkan ejen pemungut kini akan mendapat komisen daripada setiap transaksi JPJ. Memang sangat menguntungkan kalau mendengar naratif pembangkang tetapi kisah sebenarnya tidak.

“Yang menarik, Kerajaan Perikatan Nasional pun pernah melantik ejen pemungut pada 29 April 2022 tetapi tidak pula digambarkan sebagai mengaut keuntungan atau menggadaikan JPJ kerana mereka tahu apa mereka sedang sebarkan itu adalah palsu,” katanya.

Ramssol Group Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya Rider Gate Sdn Bhd dalam satu kenyataan memaklumkan syarikat itu dilantik secara rasmi oleh Kementerian Pengangkutan sebagai ejen kutipan yang diberi kuasa oleh JPJ.

Syarikat itu memaklumkan melalui portal aplikasi Rider Gate, rakyat Malaysia kini boleh mengakses platform perkhidmatan yang digital sepenuhnya, mudah dan selamat untuk transaksi penting JPJ termasuk pembaharuan LKM, pembayaran saman trafik dan pindah hak milik kenderaan dengan caj nominal bagi setiap transaksi.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here