Utama Berita Automotif Nissan Rogue Hybrid e‑POWER dipertontonkan, bakal ganti X-Trail?

Nissan Rogue Hybrid e‑POWER dipertontonkan, bakal ganti X-Trail?

49

Setelah sekian lama menjadi penonton, pengguna di Amerika Syarikat (A.S.) akan menerima teknologi hibrid e-POWER. Satu yang menarik, Nissan tidak mengitar mana-mana model e-POWER sedia ada tetapi terus mempersembahkan Rogue baharu (2027).

Nissan Rogue dikenali sebagai X-Trail di luar Amerika Syarikat.

Penampilan sulung Rogue 2027 dalam acara Nissan Vision menyerlahkan usaha syarikat dalam menawarkan pilihan hibrid yang disesuaikan mengikut keperluan pasaran-pasaran utama dunia.

Rogue 2027 menampilkan teknologi inovatif Hybrid e-POWER dan menandakan lembaran baharu bagi salah satu model global Nissan yang paling penting.

Rogue merupakan model paling laris Nissan dalam segmen terbesar pasaran.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2000, siri Rogue/X-Trail terjual hampir 10 juta unit di seluruh dunia termasuk hampir 4 juta di A.S., menjadikannya antara model Nissan paling berjaya di peringkat antarabangsa.

Kehadiran model baharu ini bakal memacu pertumbuhan jenama tersebut di seluruh A.S. dan Kanada.

Nissan e-POWER, enjin sebagai penjana

Nissan berjaya menjual hampir 2 juta kenderaan dengan sistem e-POWER sejak 2016, membuktikan keandalan teknologi ini di peringkat global.

Meskipun begitu, pengguna di A.S. belum berpeluang untuk merasainya malah sudah lama Nissan tidak menawakan teknologi hibrid di sana.

Sistem e-POWER beroperasi dengan enjin petrol hanya menjana elektrik untuk menguasakan motor elektrik yang memacu roda. 

Nissan tidak memperincikan butiran lanjut tentang rangkaian kuasa dan sebagai rujukan, X-Trail e-POWER di Jepun dan pasaran lain dikuasakan enjin 1.5 liter VC-Turbo.

Di pasaran tempatan, teknologi e-POWER ditawarkan melalui Kicks dan Serena terbaru.

Dari segi reka bentuk, Rogue 2027 tampil dengan gaya menyerlah melalui garisan dramatik dan membawakan konsep SUV bandar berbanding utilitarian.

Reka bentuk sebegini sudah menjadi trend dan sesuai bagi menyaingi SUV buatan China yang semakin menguasai pasaran.

Nissan Xterra kembali

Di acara yang sama, Nissan turut mengesahkan kemunculan semula Xterra dengan mendedahkan gambaran acah pertama dan disasarkan untuk diilancarkan pada tahun 2028.

SUV lasak serba baharu ini akan dihasilkan di A.S., sekali gus memperkukuh pembuatan dan tawaran keupayaan Nissan untuk pelanggan Amerika Utara.  

Nissan kini sedang membangunkan lima model baharu buatan A.S. menggunakan platform body-on-frame.

Model-model tersebut termasuk Xterra serta potensi untuk trak pikap dan SUV berbilang baris bagi jenama Nissan dan INFINITI.

Bagi menawarkan lebih pilihan dan keupayaan, rangkaian model ini akan dilengkapi dengan nadi V6 atau rangkaian kuasa V6 Hybrid baharu.

Nissan akan mengumumkan maklumat tambahan mengenai kedua-dua Rogue Hybrid e-POWER serba baharu dan Xterra menjelang tarikh pelancaran.

Kredit gambar: Nissan

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here