
Guru wanita yang direman pada Isnin bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pelajar Tingkatan Satu maut dirempuh kereta di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas, di Kota Bharu pada Ahad akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pendakwaan itu dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Hari ini (Selasa) guru berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas direman selama dua hari,” katanya.
Guru berkenaan dipercayai melanggar seorang pelajar Tingkatan Satu sehingga maut di hadapan surau SMK Tanjong Mas pada Ahad direman selama dua hari.
Perintahan tahanan reman ke atas wanita berusia 57 tahun itu bermula pada Isnin dan dikeluarkan oleh Majistret Wan Mohd I’zzat Wan Abdullah.
Tahanan reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Terdahulu guru berkenaan tiba di mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman pada jam 8.40 lagi.
Dia yang memakai baju lokap bewarna ungu tiba di mahkamah dengan menaiki trak Polis Diraja Malaysia (PDRM).




