Utama Berita Automotif Suspek langgar lari anggota trafik disahkan Inspektor

Suspek langgar lari anggota trafik disahkan Inspektor

1449

Pemandu Perodua Axia dipercayai terlibat dalam kejadian langgar lari menyebabkan seorang anggota trafik cedera di Jalan Sultan Yahya Petra, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu, merupakan seorang pegawai kanan polis berpangkat Inspektor yang menghidap skizofrenia.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, lelaki berusia 40 tahun itu kini sedang menjalani cuti perubatan khas dan dalam proses dibersarakan atas syor Lembaga Perubatan.

“Suspek turut disahkan mempunyai masalah kesihatan mental iaitu skizofrenia, dan sedang menerima rawatan berkaitan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, suspek berjaya ditahan selepas dikejar polis dari sekitar Jalan Cheras hingga ke Jalan Empat, Chan Sow Lin pada petang Isnin.

“Suspek dikesan kira-kira jam 3.45 petang oleh anggota Unit Kawalan Lalu Lintas, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur hasil risikan serta semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Bagaimanapun, cubaan awal untuk menahan kenderaan dipandu suspek gagal apabila lelaki berkenaan bertindak memecut secara berbahaya bagi meloloskan diri,” katanya.

Jelasnya, kereta suspek melanggar beberapa kenderaan lain ketika dikejar oleh polis dan sepanjang operasi pihak berkuasa membuka laluan untuk mengelak kemalangan lebih serius dan mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya lain.

“Dalam cubaan melarikan diri, kereta dipandu suspek melanggar beberapa kenderaan orang awam, termasuk Mercedes Benz dan Proton Saga, selain beberapa lagi kenderaan yang masih belum membuat laporan setakat ini. 

“Suspek akhirnya berjaya diberkas dengan bantuan MPV dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras dan IPD Brickfields.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada barang salah ditemui, manakala ujian pernafasan alkohol adalah negatif,” katanya.

Setakat ini, seramai tujuh pemilik kenderaan telah tampil membuat laporan polis, melibatkan lima kenderaan awam serta masing-masing sebuah MPV polis dan motosikal milik pegawai polis. 

Beliau berkata, mana-mana pihak yang terlibat dalam kejadian itu diminta segera tampil membuat laporan di balai polis trafik berhampiran.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Razif Jamaluddin di talian 019-4482852 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di 03-2026 0267 / 0269,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu serta menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here