
Honda Hunter Cub atau dikenali dengan nama CT125 merupakan sebuah moped bersesaran kecil yang disuntik elemen jentera kembara.
Sayang sekali, jentera yang tahan lasak itu hanya ditawarkan di beberapa buah pasaran terpilih di seluruh dunia.
Di UK, sebuah syarikat bergelar AJS Motorcycle menawarkan Imber sebagai alternatif kepada mereka yang mahukan sebuah motosikal kecil yang lasak tanpa perlu melalui jalan import.
AJS Imber dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 125 cc menghasilkan kuasa 9.2 bhp pada putaran enjin 8,000 rpm.
Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi kotak gear manual empat kelajuan tanpa klac.
Imber menggunakan sistem brek gabungan (CBS) cakera depan dan belakang, rim bersaiz 18 inci depan dan 16 inci belakang, lampu LED depan dan belakang, skrin paparan LCD serta menawarkan pelana setinggi 810 mm (760 mm untuk versi rendah).
Kapasiti tangki bahan api sekitar 8.5 liter sementara berat keseluruhan sekitar 115 kg sahaja.
Di UK, AJS Imber dijual pada harga bermula dari £2,349 (RM12,853).































