Utama Berita Automotif Supermoped Modenas Z15GT rasmi lancar, harga RM8,288

Supermoped Modenas Z15GT rasmi lancar, harga RM8,288

24

Setelah sekian lama membiarkan pesaingnya menguasai segmen moped 150cc, Modenas dengan kerjasama ‘abang besar’ dari Jepun, Kawasaki akhirnya rasmi melancarkan moped sulungnya yang dinamakan sebagai Modenas Z15GT.

Ya, selepas pesaingnya melalui dua atau tiga kitaran produk, Modenas akhirnya memunculkan diri dalam pasaran moped 150cc.

Modenas Z15GT didatangkan dengan tiga pilihan warna badan iaitu Graphite Grey, Nardo Grey dan Rosso Red pada harga cadangan RM8,288.

Bahasa Rekaan Sugomi 

Filosofi reka bentuk ‘Sugomi’ Kawasaki disuntik sepenuhnya ke dalam Z15GT yang tampil dengan:

  • Postur Agresif: Bahagian hadapan direka rendah manakala ekornya meninggi, menghasilkan postur ‘merendah’ (crouching posture) yang dinamik. 

  • Impak Visual: Modenas menjanjikan bahawa Z15GT akan memberikan impak visual yang garang walaupun di ruangan parkir. 

Ia dipilih setelah pereka Kawasaki, Fukumoto turun ke padang pada 2022 bagi memastikan elemen DNA Kawasaki wujud dalam model baharu ini.

Selain itu, reka bentuk Z15GT semakin unik dengan inspirasi dari haiwan tempatan, iaitu ikan Arowana.

Ya, anda tidak salah baca. Ikan Arowana, simbol kemewahan dan kejayaan telah digunakan sebagai subjek material untuk pembangunan reka bentuk Z15GT.

Justeru itu, bentuk badan Arowana menyumbang kepada garisan rekaan Z150GT yang licin dan agresif.

Untuk pembangunan moped ini sebanyak RM30 juta dilaburkan untuk penyelidikan dan pembangunan.

Enjin 149.5CC

Daripada segi mekanikal, reka bentuk enjin dibangunkan bersama firma asal Austria, FVT yang menggabungkan input teknikal ketika fasa konsep dan pengesahan.

Manakala reka bentuk acuan, perkakas serta kesediaan pengeluaran diuruskan dan dilaksanakan oleh ZS.

Setelah semuanya selesia, ujian dan pengesahan prestasi diserahkan kepada Kawasaki bagi memastikan standard pematuhan fungsi dan ketahanan.

Modenas Z15GT menggunakan enjin 149.5cc DOHC, 4-injap, penyejukan cecair yang menjana kuasa maksimum 12.5kW @ 9,500 rpm dan tork 13.5Nm @ 7,500 rpm bersama transmisi 6-kelajuan. 

Ia diperakui sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) untuk jarak perbatuan yang lebih jauh dan pelepasan karbon yang rendah.

Berikut ciri peralatan yang ditawarkan Modenas Z15GT :

  • Sistem Lampu LED Penuh: Lampu depan, Lampu nyala siang (DRL), signal serta lampu belakang menggunakan teknologi LED.
  • Sistem Brek Anti-Kunci (ABS): Meningkatkan kestabilan dan keselamatan semasa brek kecemasan.
  • Lampu Kecemasan: Ciri keselamatan untuk memberi amaran kepada pengguna jalan raya lain.
  • Sistem Kunci Pintar: Memudahkan operasi menghidupkan motor dan keselamatan anti-curi.
  • Panel Instrumen LCD: Paparan digital yang jelas untuk maklumat tunggangan.
  • Soket Kuasa: Port pengecasan untuk peranti mudah alih.
  • Tangki Bahan Api Besar: Kapasiti 5.7 liter lebih besar berbanding pesaingnya yang menawarkan jarak perjalanan lebih jauh 250km (purata kelajuan 80kmj)
  • Pelana Dual Tekstur: Didatangkan dengan anti gelunsur dengan jahitan benang putih
  • Binaan Dalam USB: Soket kuasa yang boleh mengecas telefon pintar ketika bergerak

SPESIFIKASI MODENAS Z15GT

Enjin & Transmisi
  • Jenis Enjin: 4-lejang, Penyejukan Cecair, Silinder Tunggal, DOHC 4-Injap
  • Piawaian Emisi: Euro 4
  • Sesaran Enjin: 149.5cc
  • Kuasa Maksimum: 12.5 kW @ 9,500 rpm
  • Tork Maksimum: 13.5Nm @ 7,500 rpm
  • Nisbah Mampatan: 12.6:1
  • Sistem Bahan Api: Suntikan bahan api 
  • Kapasiti Tangki: 5.7 Liter
  • Transmisi: 6-kelajuan constant mesh
  • Jenis Klac: Wet Multi Plate
Dimensi & Berat
  • Panjang Keseluruhan: 1,980 mm
  • Lebar Keseluruhan: 670 mm
  • Tinggi Keseluruhan: 1,100 mm
  • Jarak Roda: 1,315 mm
  • Jarak Kelegaan Tanah: 140 mm
  • Tinggi Tempat Duduk: 780 mm
  • Berat Kering: 128 kg
Casis & Suspensi
  • Jenis Casis: Backbone
  • Suspensi Hadapan: Teleskopik
  • Suspensi Belakang: Monoshock
  • Brek Hadapan: Cakera tunggal hidraulik (dengan ABS)
  • Brek Belakang: Cakera tunggal hidraulik
  • Tayar Hadapan: 90/80-17M/C
  • Tayar Belakang: 120/70-17M/C

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here