
BYD Auto Japan mendedahkan imej teaser K-Car elektrik penuh miliknya di laman web menjelang penampilan sulung pada Japan Mobility Show (2025) hujung bulan ini.
Imej berkenaan menampilkan profil sisi dengan rekaan berkotak yang biasa dilihat dalam kalangan ‘kei car’ Jepun.
Ia bakal dijual di pasaran Jepun dan masih belum ada informasi K-Car itu akan diperkenalkan ke pasaran lain, termasuk China.
Kenderaan baharu BYD ini menawarkan ruang tempat duduk yang lebih luas dengan bahagian depan lebih pendek dan menggunakan jarak roda yang panjang bersama overhang yang pendek untuk memaksimumkan ruang dalaman.
Berdasarkan imej intip sebelum ini, K-Car itu menggabungkan ciri pintu belakang gelunsur untuk memudahkan operasi masuk dan keluar.
Reka bentuknya memastikan kedudukan roda belakang tidak menjejaskan pintu belakang. Sementara itu, jarak penglihatan agak luas dengan tingkap lebih besar dan reka bentuk bumbung terapung.
Kedua-dua lampu bahagian depan dan belakang menampilkan reka bentuk cincin.
Masuk ke kabin, ia menampilkan stereng tiga jejari dengan fungsi pemanas serta papan pemuka dilengkapi dengan kluster instrumen digital dan skrin kawalan pusat terapung.
Tiang-A menampilkan tingkap berbentuk segi tiga, dan keseluruhan kawasan tempat duduk hadapan kelihatan mempunyai reka bentuk yang bersambung.
Dari segi kuasa, ia dijangka dilengkapi dengan bateri Blade 20kWh yang mampu mencapai jarak gerak sejauh 180km (WLTC).
Menurut BYD Auto Japan, prototaip K-Car ini mewakili reka bentuk eksklusif luar negara BYD yang pertama mematuhi peraturan kereta kompak Jepun.
Ia merangkumi falsafah korporat BYD iaitu ‘mengurangkan suhu bumi sebanyak dan mempamerkan teknologi bateri serta keupayaan pembuatan terkini syarikat tersebut.